Melawat tempat bersejarah di Bosnia dengan Motorhomes Ikhwan

Views: 9

SARAJEVO, 06.08.2022,
Seramai 20 orang Remaja Pembela Ummah Lelaki (RPUL), iaitu unit remaja di dalam GISBH termasuk seorang Remaja Pembela Ummah Perempuan (RPUM) dan seorang bayi telah berpeluang menziarahi tempat-tempat bersejarah di negara Bosnia & Herzegovina baru-baru ini.

Antara tempat-tempat yang diziarahi ialah Mostar, Blagaj dan Neum iaitu sebuah kawasan pantai yang terletak ke arah barat kira-kira 210KM dari ibu negara, Sarajevo.

Rombongan yang diketuai oleh YBhg Tuan Mohd Nafi’ sebagai ketua kluster Motorhomes mula bertolak pada jam 7.35 pagi dari Restoran Nur Malaysia Sarajevo, salah satu daripada 6 buah rangkaian restoran GISBH di Eropah.

Kluster Motorhomes adalah satu kumpulan yang dicetuskan oleh YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH untuk melakukan misi kemanusiaan dengan moto Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah menggunakan 2 buah Motorhomes yang bernilai RM1.85 juta merentas benua Eropah untuk menarik manusia kembali kepada Tuhan.

Sebelum bertolak Tuan Mohd Nafi’ mengajak semua ahli rombongan untuk membetulkan niat dan berdoa sepanjang perjalanan agar Allah membantu usaha dakwah mereka serta menunjukkan akhlak yang mulia sebagai syiar Islam agar manusia tertarik kepada cara hidup Islam.

Perjalanan melalui bandar Jablanica di mana Tuan Mad Nafi’ meminta berhenti untuk membeli kambing BBQ sebagai sarapan disamping beramah mesra dengan penduduk tempatan.

Rombongan bersarapan berdekatan jambatan Jablanica yang musnah di dalam Perang Dunia ke 2 yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurut En. Nik Fateh Abdullah selaku wakil GISBH Bosnia, jambatan ini diletupkan ketika kereta api sedang melintas di tengah-tengah jambatan dalam pertempuran Neretva pada tahun 1943. Ia dikekalkan tanpa dibaiki sebagai memperingati pengorbanan dan penderitaan ketika perang.

Tiba di bandar Mostar pada jam 12.20 tengahari, rombongan mengambil peluang untuk menunaikan solat zohor, menziarahi jambatan Mostar sambil membuat sedikit penggambaran.

Jambatan Mostar atau lebih dikenali dengan nama bahasa Bosnia-nya iaitu, Stari Most adalah sebuah jambatan lama yang dibina pada pertengahan kurun ke-16 ketika Bosnia Herzegovina masih lagi dibawah empayar Uthmaniah.

Ia dibina merentasi lembah sungai Neretva bermula pada tahun 1566 oleh Mimar Hayruddin (anak murid arkitek ternama Mimar Sinan) dan jambatan ini mengambil masa selama hampir 10 tahun untuk disiapkan.

Selama lebih 427 tahun lamanya Ianya menjadi penghubung dua bahagian kota Mostar sehinggalah ianya musnah ketika berlakunya perang di antara etnik Croat dan Bosniak pada tahun 1993 selepas kejatuhan Persekutuan Yugoslavia.

Ia siap dibina semula seperti bentuk asalnya pada 2004 dan menjadi tarikan pelancong kerana keindahan dan keunikan rekabentuknya.

Destinasi rombongan seterusnya ialah Blagaj satu tempat suluk kaum sufi yang mempunyai sumber air mineral semulajadi yang sangat cantik.

Oleh kerana hari telah petang, rombongan berehat dan bermalam di sebuah tapak perkhemahan di Auto Camp Kolo-M kira-kira 2.3 KM dari Blagaj.

Walaupun kos keseluruhan perbelanjaan perjalanan hari ini sebanyak RM3400, GISBH tetap meneruskan program seumpama ini untuk menyuburkan pemikiran dan jiwa para staf melalui pemandangan alam indah ciptaan Tuhan serta berpeluang menambah maklumat mengenai sejarah tempatan dan dapat bergaul dengan masyarakat Bosnia.

Views: 9
Scroll to top