Menteri Agama jamu selera di Restoran Nur Malaysia Istanbul

Views: 696

ISTANBUL,14.05.2024
Restoran Nur Muhammad Istanbul (RNMI) salah sebuah dari rangkaian restoran GISBH telah menerima kedatangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Naim Mokhtar bersama delegasinya, Dr. Muhamad Razak Idris, (Setiausaha Politik) dan En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, (Presiden ABIM) di sini hari ini.

Rombongan turut diiringi 5 pegawai keselamatan Turki dan pemandu dari Konsulat Malaysia.

Kedatangan mereka ke Istanbul adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Persidangan Muslim Sedunia yang telah berlangsung selama 3 hari dan hari itu merupakan hari terakhir mereka berada di Istanbul.

Ketika sampai di RNMI, mereka baru menziarahi Maqam Sultan Muhammad Al Fateh dan Maqam Saidina Abu Ayub Al Ansari di mana sejurus selepas itu mereka akan berlepas ke Kyrgyzstan.

Sebelum itu, dua orang staf RNMI telah bertemu mereka di Masjid Hagia Sophia ketika menunaikan sembahyang Subuh dan mempelawa mereka ke restoran.

Ketibaan YB Menteri dan rombongan disambut staf bertugas dan dibawa ke meja yang telah disediakan. Di antara menu yang disediakan adalah nasi lemak, roti canai dan sambal udang.

YB Mohd Naim dan rombongan sempat melihat peta cawangan GISBH seluruh dunia dan gambar-gambar pertemuan Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH bersama beberapa orang kenamaan di luar negara.

Delegasi itu kemudiannya diberi taklimat ringkas mengenai perjalanan syarikat di mana GISBH terlibat dalam Sidang Kemuncak Halal OIC sebagai penaja utama tahun lalu, perkembangan GISBH di Filipina, Wadi Berkat Dato Ibu Hudaibiyah, Arab Saudi dan perjalanan Tn. Pengerusi Eksekutif GISBH ke beberapa buah negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah dan seterusnya menghadiri Ekspo Halal di Kazan, Rusia.

Seterusnya YB dan rombongan berpeluang menonton profil GISBH, video ekspo-ekspo yang GISBH sertai di peringkat antarabangsa seperti HAPEX, OIC serta tayangan drama pendek hasil produksi bahagian Media GISBH, menerusi Ikhwan TV.

Di kesempatan itu, wakil GISBH mengambil peluang menjemput YB Mohd Naim dan rombongan menghadiri International Islamic Trade & Tourism Expo anjuran GISBH yang bakal diadakan di Melaka pada bulan Ogos akan datang.

Ketika En. Ahmad Fahmi bertanya mengenai faktor GISBH boleh berkembang dan dapat bertahan lama dalam perniagaan, staf RNMI menerangkan segalanya bermula daripada penekanan Tn. Pengerusi Eksekutif di aspek bina insan khususnya menjaga ibadah sembahyang yang melahirkan peribadi yang berdisiplin.

Encik Ahmad Fahmi merupakan kenalan kepada dua orang Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, Tn. Hj. Hasnan Abd Hamid dan Tn. Hj. Ahmàd Anuàr Abd Rahman kerana sama-sama menyertai ‘Misi Kemanusian ke Afghanistan’ suatu ketika dahulu.

Beliau menyatakan secara berseloroh supaya diletakkan gambar YB Mohd Naim di peta cawangan GISBH.

Di akhir pertemuan, YB Mohd Naim mengucapkan tahniah atas pencapaian GISBH, menyokong pentingnya menjaga ibadah sembahyang ketika bekerja dan menyatakan bahawa keberadaan GISBH secara umumnya sebagai mewakili Malaysia.

Staf RNMI menyampaikan salam Tn. Hj. Nasiruddin kepada beliau yang juga berbalas salam dengan PE GISBH.

Moga semua cawangan restoran GISBH di luar negara dapat terus memberi khidmat yang sebaiknya kepada semua tetamu khususnya mereka yang datang dari tanah air, Malaysia yang tercinta.

Views: 696

Reviews for Menteri Agama jamu selera di Restoran Nur Malaysia Istanbul

There are currently no reviews for Menteri Agama jamu selera di Restoran Nur Malaysia Istanbul
Scroll to top