Misi bantuan kemanusiaan di Turkiye Syria dedah lapan RPU pengalaman mahal

Views: 13

KAHRAMANMARAS, 11.02.2023
Pengalaman dilalui Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan syarikat itu bersama MAPIM dilihat sebagai satu pengalaman yang sangat mahal apabila mereka diberi peluang menyaksikan sendiri persekitaran yang amat dahsyat kesan tragedi gempa bumi yang berlaku di sini baru-baru ini.

Bukan setakat itu saja, RPU juga diberi pendedahan lebih luas dalam menghadapi situsi bencana apabila dapat menyertai pasukan MAPIM yang diketuai oleh Dr Sani Araby Al Kahery. Bekerja secara berpasukan, mengambil sebanyaknya maklumat, berkongsi mengenai situasi dan suasana persekitaran, melapor, merancang serta menyusun gerak kerja dengan baik adalah elemen-elemen yang sangat perlu dalam menghadapi situasi getir seperti itu.

Dalam misi pusingan pertama ini RPU, diketuai Tuan Abul Fida selaku ketua delegasi GISBH, juga membantu kerja-kerja bersesuaian di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM itu, yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan operasi sedemikian sebelum ini.

Pendedahan pengalaman yang mahal seperti ini amat dianjurkan oleh YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, selaku Pengerusi Eksekutif GISB Holdings kepada semua RPU yang sedang dibina sahsiah dan kepimpinan mereka.

Kahramanmaras adalah bandar yang paling hampir dengan titik gempa yang mula melanda Tenggara Turkiye pada 6 Februari yang lepas hingga mengakibatkan lebih 6,000 buah bangunan rosak, runtuh dan mengorbankan lebih 40,000 orang di Turkiye dan Syria dan angka korban dijangka akan meningkat lebih tinggi.

Turkiye pernah dilanda gempa bumi terburuk pada tahun 1939 yang mengorbankan seramai 33,000 orang di daerah Erzincan.

Kesan-kesan runtuhan bangunan dan juga bangunan-bangunan yang telah dikosongkan dapat dilihat di seluruh kawasan manakala kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan walaupun sudah masuk hari ke 6.

Disebabkan tahap keselamatan masih kritikal, dua buah motorhome yang dibawa bagi membantu misi ini tidak dapat masuk ke kawasan yang berdekatan lokasi bencana.

Dalam misi ini RPU telah dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua tugasan berlainan.

Kumpulan pertama menetap di motorhome, bertanggungjawab dalam menyediakan makanan dan minuman delegasi juga penduduk sekitar, menyediakan tempat ibadah, menjaga kebersihan dan keselamatan.

Kumpulan kedua pula bertugas mengiringi Dr. Sani dan Tuan Zulhanis Zainol, setiausaha MAPIM, turun ke lapangan.

Melihat keadaan kehidupan mangsa-mangsa bencana yang amat mencabar, sewajarnya menjadi pengajaran dan iktibar yang amat menginsafkan dan menjadikan hati semakin sensitif dengan Tuhan.

Views: 13

Reviews for Misi bantuan kemanusiaan di Turkiye Syria dedah lapan RPU pengalaman mahal

There are currently no reviews for Misi bantuan kemanusiaan di Turkiye Syria dedah lapan RPU pengalaman mahal
Scroll to top