Misi bantuan MAPIM dan GISBH masuk ke Syria

Views: 8

SARMADA, SYRIA 16.02.2023
Melalui kerjasama MAPIM dengan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV), delegasi misi bantuan MAPIM dan GISBH telah memasuki negara Syria untuk meninjau keadaan bencana di sana sekaligus menghulurkan bantuan kepada mangsa di sini, baru-baru ini.

Gempa bumi yang melanda Tenggara Turkiye turut melibatkan kawasan wilayah persempadanan Syria-Turkiye.

Kawasan yang sempat dilawati pada hari pertama ialah di sekitar pekan Sarmada menuju ke Harem dan Salqin dan kembali bermalam di penempatan yang disediakan oleh pihak TDV di Sarmada.

Keadaan yang dialami oleh penduduk di kawasan ini juga amat memilukan di mana runtuhan bangunan dapat dilihat sepanjang jalan.

Beberapa individu yang terselamat dapat ditemubual termasuk Saudara Mustafa Zuher Sayid.

“Pada awalnya saya menyangka rumah kami dibom oleh tentera Assad. Suasana gelap, suara-suara jiran yang mengerang kesakitan kedengaran sayup-sayup sebelum terus menghilang,” ujarnya ketika berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Beliau bersama isteri dan tiga anaknya telah berjaya dikeluarkan oleh para penyelamat dari agensi pertahanan awam Syria setelah hampir tiga hari terperangkap di bawah runtuhan.

Mengikut maklumat daripada penduduk di Harem ini, kadar mangsa yang terselamat hanya sekitar 5% iaitu sekitar 35 orang dari 750 orang yang terlibat. Ini berikutan kelewatan bantuan serta kekurangan peralatan yang diperlukan.

Delegasi misi bantuan juga dibawa melawat ke sekolah yang dibangunkan oleh MAPIM dengan kerjasama TDV di kawasan Bardaqli.

Sekolah rendah ini telah mula beroperasi pada tahun 2020 dengan bilangan murid seramai 2,100 orang.

Pergolakan dan krisis dalaman Syria membuatkan kehidupan rakyat amat sengsara dan ditambah lagi dengan musibah gempa bumi yang menimpa, yang merupakan ujian dari Allah SWT.

Atas dasar kemanusiaan, kerajaan Turkiye telah mengambil inisiatif memberi bantuan kepada mangsa perang saudara di Syria. 

Tentera Turkiye telah menjadikan kawasan persempadanan Syria – Turkiye sejauh 32km ke dalam kawasan wilayah utara Syria sebagai ‘zon selamat’ untuk pelarian perang.

Beberapa agensi bantuan seperti IHH, Turkiye Diyanet Vakfi dan Turk Kizilay digerakkan bagi mengusahakan segala bantuan yang diperlukan seperti penempatan, sekolah, hospital dan keperluan kehidupan yang lain.

Moga dengan kedatangan delegasi misi bantuan MAPIM dan wakil-wakil GISBH yang mendapat mandat penuh YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, GISBH Excutive Chairman dapat sedikit sebanyak memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang menderita lebih-lebih lagi di musim sejuk begini dan membawa berita yang tepat dari tapak kejadian agar rakyat Malaysia dapat sama-sama menyokong usaha-usaha ini dengan bantuan dan doa.

Views: 8

Reviews for Misi bantuan MAPIM dan GISBH masuk ke Syria

There are currently no reviews for Misi bantuan MAPIM dan GISBH masuk ke Syria
Scroll to top