MoA GISBH dengan Pattani Fisheries and Agriculture Technology College, Thailand

Views: 30

PATTANI, 02.06.2023
Satu Majlis Menandatangani Memorandum of Agreement (MoA) ataupun Memorandum Perjanjian antara GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan Pattani Fisheries and Agriculture Technology College (PFATC) telah diadakan di dewan PFATC di sini hari ini.

MoA ini telah ditandatangani oleh YDH Tuan Nik Hazani Nik Muhammad, Ahli Lembaga Penasihat GISBH, mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Mr. Thew Kasivut, Pengarah PFATC dengan disaksikan oleh Mr. Akkasit Songmuang, Pegawai Daerah Nongchik.

Turut hadir di majlis tersebut, YDH Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Ahli Lembaga Penasihat GISBH, Tuan Muhammad Ridzuan Abu Yazid, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, En Hairuddin Maslan, Counsellor (Agriculture) Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Puan Siti Atiqah Fatin Zainal Abidin, First Secretary (Agriculture) Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Hj. Ismail Wan Mustafa, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pattani, Mr. Pairat Saelim, Pegawai Perikanan, Mr. Chayanon Pongkham, Pegawai Veterina, Mr. Meechai Nualtewakorn, Pegawai Pentadbiran Daerah Nongchik dan Puan Kanchana Naoprachul, Pegawai Pembangunan Daerah Nongchik.

Terdahulu, di permulaan majlis, Pegawai Daerah Nongchik, Mr. Akkasit Songmuang telah memberi ucapan alu-aluan sebagai tuan rumah, menerangkan pengenalan berkaitan kolej dan memperkenalkan Pengarah Kolej, Mr. Thew Kasivut.

Beliau juga berterima kasih kepada GISBH, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan wakil pertanian dari Kedutaan Besar Malaysia yang turut hadir di majlis tersebut.

Tuan Muhammad Ridzuan bin Abu Yazid, Konsul Jeneral Malaysia dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kembali kepada pihak kolej dan Pegawai Daerah Nongchik yang sudi bekerjasama dalam MoA untuk ternakan ayam ini sebagai satu bidang yang penting untuk GISBH melaksanakan ilmu dan teknologi yang mereka miliki. Ia juga berupaya menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Pattani.

YDH Tuan Nik Hazani pula menjelaskan tercetusnya MoA ini adalah dari usaha awal YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH sendiri yang walau pun sibuk pergi ke 17 negara yang mempunyai cawangan GISBH tetapi di akhir-akhir ini sangat menumpukan masa di Selatan Thailand dengan program Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah yang akhirnya termetrailah MoA antara pihak kolej dengan GISBH.

“Antara faktor yang membentuk hati ialah makanan yang kita makan. Masalah yang berlaku punca dari makanan yang tidak halal dan bersih. Ia bukan setakat ternakan ayam tapi food security. Ini adalah langkah awal untuk membentuk insan yang berkualiti, jujur, dapat jalankan segala tanggung jawab bermula dari menjaga makanan. Semua ini akan diterapkan dalam projek ini,” Tuan Nik Hazani.

Pengarah Kolej pula dalam ucapan balasnya berterima kasih kepada semua pihak dan merasakan satu penghormatan besar apabila semua datang ke kolej untuk menyaksikan Majlis menandatangani MoA dengan GISBH.

“Terima kasih pada GISBH yang berminat mengadakan usahasama dengan kolej bermula dengan ternakan ayam menggunakan teknologi Fateh sebagai langkah permulaan untuk membina kekuatan ekonomi, juga di bidang perternakan, usahawan dan bina insan. Bukan kepada pelajar sahaja malah terbuka kepada penternak dan peniaga ayam.

“Di sini juga boleh diadakan kursus-kursus, semuanya untuk menjana kekuatan ekonomi dan membina masyarakat yang kuat dalam masa yang sama juga membenteras masalah-masalah jenayah.

“Majlis ni kecil sahaja tetapi harapan dan hasilnya besar. Di harap GISBH dapat turut bekerjasama selepas ini berkongsi ilmu pengetahuan di bidang perikanan dan pertanian pula,” ujar Mr. Thew Kasivut

Dari sisi yang lain pula, majlis ini dipandang besar kerana kolej ini mewakili kerajaan Thailand manakala GISBH mewakili Malaysia, ia umpama kerjasama dua negara berjiran.

Dengan termetrai perjanjian ini, GISBH akan bekerjasama dengan pihak PFATC di dalam pembangunan pendidikan khususnya dari sudut pembinaan sakhsiah atau bina insan pelajar dan tenaga pengajar, juga melatih pelajar di bidang ternakan ayam dengan membekalkan DOC, enzim Fateh dan kepakaran manakala PFAC pula menyediakan tenaga, tempat dan meningkatkan prasarana mengikut piawaian yang ditetapkan oleh GISBH.

Moga bermula dengan MoA ini, GISBH akan dapat terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di Selatan Thailand di dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pertanian dan pelancongan untuk mengembalikan keamanan dan keharmonian yang diperlukan oleh semua penduduk.

Views: 30

Reviews for MoA GISBH dengan Pattani Fisheries and Agriculture Technology College, Thailand

There are currently no reviews for MoA GISBH dengan Pattani Fisheries and Agriculture Technology College, Thailand
Scroll to top