Motorhome GISBH selamat tiba di Ibu Pejabat GISBH

Views: 864

RAWANG, 21 Ogos 2024 – Dua buah motorhome milik GISBH yang berpusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, selamat tiba di Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes (PPIBCH) di sini, hari ini.

Kenderaan ini memulakan perjalanan darat pada 15 Mei lalu dari Kota Suci Mekkah dan berjaya menempuh perjalanan melalui 13 buah negara iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Kuwait, Iraq, Turkiye, Georgia, Rusia, Mongolia, China, Loas dan Thailand sebelum memasuki sempadan Malaysia.

Ketibaan motorhome ini yang diiringi bas dua tingkat GISBH, disambut meriah oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, bersama para pemimpin GISBH dan kakitangannya di hadapan premis Ikhwan Bakery & Coffee House, Jalan Desa 9 di sini.”

Kedua-dua kenderaan ini diparkir di PPIBCH untuk tujuan penyelenggaraan selepas menempuh perjalanan yang sangat jauh, sebelum meneruskan perjalanan ke seluruh Malaysia.

Sambutan diteruskan dengan majlis jamuan di Laman Ikhwan. Dalam majlis tersebut, beberapa anggota krew Kluster Motorhome berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan mereka.

“Allah menjadikan motorhome ini sebagai wadah dakwah kerana ia menarik perhatian semua orang tanpa mengira agama di setiap negara yang kami lalui,” kata Mohd Nafib Nasiruddin, Ketua Kluster Motorhome GISBH.

“Sungguhpun terdapat ujian sepanjang perjalanan, dengan rahmat Allah, sebarang kerosakan tidak berlaku di kawasan terpencil tetapi di tempat yang mempunyai penduduk dan dekat dengan bengkel,” ujar Mohd Arif Salim, salah seorang peserta kembara ini.

Sepanjang proses pemeriksaan dan penyelenggaraan, motorhome ini menjadi tumpuan warga GISBH dari pelbagai peringkat umur yang tinggal berhampiran PPIBCH, yang berpeluang mendengar taklimat serta pengalaman daripada peserta kembara.

Diharapkan motorhome ini akan terus berperanan dalam misi Silaturrahim, Ziarah, Dakwah, dan Tijarah yang merupakan sunnah Rasulullah SAW dalam mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Views: 864
Scroll to top