BUKIT KAYU HITAM, 20 Ogos 2024 Setelah menempuh perjalanan darat sejauh 22,800 KM, merentasi 13 buah negara dan memakan masa selama 97 hari, akhirnya 2 Motorhome GISBH dengan nama Katta Rahmat dan Rahmati Kalun bersama 7 orang staf GISBH telah selamat memasuki Malaysia melepasi Kompleks Imigresen jam 10.10 PM di sini malam ini.
Ketibaan Motorhomes ini di sambut dengan paluan kompang dan alunan selawat oleh hampir 100 orang pimpinan dan staf GISBH di ketuai oleh Pengarah Zon, Tn. Nik Fateh Nik Abdul Kadir.
Rombongan motorhomes yang sepatutnya sampai sebelum Ekspo Perdagangan dan Perlancongan Islam Antarabangsa 2024 di MITC Melaka pada 1-4 Ogos yang lalu tidak dapat mengikut perancangan awal kerana beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Perjalanan darat Kluster Motorhome ini adalah sebahagian daripada misi Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah yang dicetuskan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali sebagai mengenangkan sejarah kemasukkan Islam ke Tanah Melayu di zaman Kerajaan Melayu Melaka.
Sebelum sampai ke Malaysia, motorhome ini telah melalui negara Saudi Arabia, UAE, Qatar, Bahrain, Kuwait, Iraq, Turkiye, Georgia, Rusia, Mongolia, China, Laos dan Thailand.
Jika dahulu Rasulullah dan para sahabat berdakwah dengan menunggang unta, kuda dan keldai, Tn. PE GISBH mengajak anak-anak muda GISBH berdakwah dengan menaiki motorhome yang terbukti menarik minat semua orang yang melihatnya di setiap negara yang dilalui.
Urusan imigresen, kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan di sini berjalan lancar dan motorhome yang dibeli dan didaftarkan di Dubai, UAE ini mendapat kelulusan untuk berada di Malaysia selama 95 hari.
Diharap motorhome ini akan dapat terus digunakan untuk program dakwah era terkini melalui misi Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah di Malaysia setelah lama berada di Timur Tengah dan Eropah.