MARAWI CITY, 08.11.2023
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara GISB Holdings Sdn Bhd dengan Mindanao State University (MSU) telah ditandatangani oleh YBhg Tuan Nik Hazani Nik Muhammad, Ahli Lembaga Penasihat GISBH dengan Atty Basari D.Mapupuno, Presiden MSU di Maranaw Culture Hall, MSU di sini semalam.
Majlis ini diadakan atas nama ‘International Dialogue and Expo on Halal’ susulan beberapa pertemuan antara wakil-wakil GISBH dengan tenaga pengajar di MSU khususnya dari Fakulti Pengajian Islam di mana mereka memahami matlamat kedatangan GISBH ke Filipina.
Seorang pensyarah di MSU, Prof. Dr Abducader Ayo telah mendapatkan persetujuan Presiden MSU untuk menjemput wakil GISBH mengadakan dialog mengenai Industri Halal dan menjalinkan hubungan jangka panjang melalui MoU antara kedua belah pihak.
YBhg Pengerusi Eksekutif, Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali telah mewakilkan Tuan Nik Hazani Nik Muhammad dan Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman untuk menyertai dialog ini, seterusnya menandatangani MoU tersebut.
Program ini juga dengan kerjasama
Raheemah Economic Hub and Development Center, sebuah NGO yang aktif mewakili Muslim Filipina khususnya di Mindanao. Presidennya, Bai A Labi Baicon B Cayongcat-Nuska merupakan kenalan GISBH, pernah berkunjung ke Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes malah beliau juga baru saja berkunjung ke Love & Care Ikhwan Restaurant milik GISBH di Bangkok.
Selain itu, hadir juga 15 orang perwakilan kalangan delegasi GISBH dan Remaja Pembela Ummah (RPU) termasuk dua orang muslimah.
Kehadiran peserta sekitar 200 orang dari kalangan pelajar Fakulti Pengajian Islam, Tenaga Akademik dan jemputan khas dari MSU.
Antara VVIP yang hadir ialah Timbalan Presiden Eksekutif, Rashid Paca, Dr Alma E.Berowa, Pengarah Eksekutif, Ayesha Merdeka M.Alonto, Pengarah PMS, Atty Rashid V.Pandi dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Prof Dr Abdulcader M.Ayo.
Selain pembentangan dari pihak GISBH dan MSU juga ditayangkan Video Profail GISBH terkini versi Bahasa Inggeris yang menarik perhatian para hadirin dengan memberi tepukan gemuruh apabila selesai tayangan.
Majlis juga diserikan dengan persembahan 2 buah nasyid dari para RPU dalam bahasa Arab dan Inggeris.
MoU berkaitan persefahaman dan kerjasama pihak GISBH dan Mindanao State University berkaitan industri Halal di Filipina ini sangat penting memandangkan ianya tidak dianggap penting selama ini menyebabkan majoriti umat Islam terdedah kepada makanan haram dan syubhat.
Hasil MOU ini maka pihak universiti melalui Prof Dr Abdulcader Ayo telah menyatakan hasrat mereka untuk membuat kunjungan balas ke Pusat Perniagaan Ikhwan (PPI) Bandar Country Homes Rawang dan PPI yang lain.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar wakil GISBH bersama semua VVIP,
kalangan pelajar dan tetamu jemputan.
Setelah itu semua hadirin berkunjung ke ruangan pameran di mana kesemua barang ekspo mendapat sambutan dan habis terjual khasnya rendang Ikhwan.
Salah seorang siswi MSU bertanyakan kepada wakil GISBH, “Kami orang Filipina suka makan roti. Masalah kami shortening yang digunakan di sini tidak jelas halalnya. Ada tak shortening yang halal dari Malaysia?”.
Begitulah antara keluhan Muslim Filipina yang wajib ditangani oleh umat Islam di sana dengan bantuan jiran-jiran terdekat khususnya Muslim di Malaysia.
Moga Allah izinkan GISBH bertapak segera di Filipina untuk sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah umat Islam di sana khususnya dalam penyediaan makanan halal yang membentuk hati nurani manusia.