MoU GISBH dengan Pejabat Daerah Maelan dan lain-lain di Pattani

Views: 219

MAELAN, PATTANI, 15 Ogos 2024 — Satu majlis rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GISB Holdings, Pejabat Daerah Maelan, Jabatan Pertanian Maelan, dan Lembaga Benih Padi Pattani telah berlangsung di kawasan sawah padi Daerah Maelan di sini hari ini.

Majlis ini dihadiri oleh Mr. Ekkasit Songmoeng, Pegawai Daerah Maelan; Mrs. Pornpen Suwattakul, Pengarah Pertanian Maelan; Mr. Suwit Kaewmanee, Pengarah Lembaga Benih Padi Pattani; serta wakil-wakil petani dari Daerah Maelan.

Majlis dimulakan dengan ucapan Mr. Ekkasit Songmoeng yang menyatakan penghargaan kepada Tn. Hj. Nasiruddin Muhammad Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, atas kesudian membantu projek tanaman padi di Daerah Maelan.

Dalam ucapannya, beliau turut menerangkan mengenai kepentingan produk enzim Fateh keluaran GISBH dalam usaha mempertingkatkan hasil tanaman padi.

Menurut Mr. Ekkasit, Daerah Maelan dikenali sebagai kawasan yang subur untuk penanaman padi, dan Pattani secara keseluruhannya mempunyai sistem pengairan yang mencukupi untuk pertanian.

Namun, beliau melahirkan kebimbangan kerana keluasan kawasan tanaman padi di Pattani telah berkurangan daripada 150,000 rai kepada hanya 70,000 rai, dan sebahagian besar tanah ini tidak lagi diusahakan.

Di Daerah Maelan, terdapat 2,000 rai kawasan padi yang masih boleh diusahakan, dengan virasi padi riceberry sebagai salah satu produk utama.

Beliau juga menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan generasi muda yang berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam sektor penanaman padi, di mana kebanyakan petani yang masih aktif adalah warga emas yang menggunakan kaedah tradisional.

Tanaman padi dalam projek ini dikenali sebagai “Padi Diraja” dan dijadikan model kepada para petani.

Benih yang digunakan ialah benih Kho Kho, yang memerlukan masa selama 95 hari sebelum dituai, serta rendah kandungan gula, menjadikannya sesuai untuk pesakit diabetes.

Projek ini juga selaras dengan pandangan Raja Thai yang menekankan keselamatan makanan, serta hasrat PE GISBH untuk melahirkan insan yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Views: 219
Scroll to top