Novel Sejarah Islam Pak Latip di PBAKL 2024

Views: 338

KUALA LUMPUR, 26.05.2024

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 sedang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). 

Acara ini, yang merupakan penganjuran kali ke-41, diadakan secara hibrid, iaitu bersemuka dan dalam talian.

PBAKL 2024 menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran buku, seminar, dan konvensyen, serta melibatkan pempamer dari dalam dan luar negara.

Pesta buku ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan enam persatuan industri buku Malaysia.

Kedai Buku Pak Latip yang menjual novel-novel sejarah Islam turut serta dalam PBAKL 2024 ini di aras 3, di gerai bernombor 3001-3004. 

Ketika ditemui Ikhwanews, Pak Latip menyatakan karyanya telah mencapai 85 buah tajuk dan beliau  berharap dapat mencapai sasaran menerbitkan novelnya yang ke 100 sebelum berakhir tahun ini.

Antara novel sejarah Islamnya yang paling laris ialah Fatimah Az-Zahra, Sultan Muhammad Al-Fateh dan Salahuddin Al-Ayubi.

Para pembeli buku Pak Latip di PBAKL berpeluang mendapat tanda tangan beliau dan bergambar kenangan dengannya.

“Saya membaca buku Pak Latip sejak darjah dua dan sekarang saya berumur 22 tahun,” kata Asyraf, siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ramai pelajar-pelajar tahfiz lelaki dan perempuan membeli novel-novel Pak Latip kerana isinya yang islamik dan bermanfaat juga larangan membaca bahan bacaan yang merosakkan seperti novel cinta dan komik di madrasah mereka.

Dalam panggilan video yang dibuat bersama Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pak Latip dipelawa mengambil 4 booth oleh Tn. PE GISBH di International Islamic Trade & Tours Expo (IITTE) sempena Tahun Melawat Melaka anjuran GISB Holdings Sdn. Bhd.

Beliau bersetuju untuk syarikatnya, Kedai Buku Pak Latip menyertai IITTE pada 1-4 Ogos 2024 bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka.

Di IITTE 2024, Kedai Buku Pak Latip akan mempamerkan koleksi novel sejarahnya, karya-karya terbaik Pak Latip yang telah berdekad mewarnai kehidupan generasi kini juga sesi autograf, dan bergambar kenangan.

Moga orang ramai tidak melepaskan peluang ke IITTE yang dijangka menarik 300 pempamer dengan 50 ribu pengunjung dari 20 buah negara dengan pelbagai aktiviti seperti persidangan dan forum, ekspo jualan makanan, persembahan kebudayaan Islam dan kemuncaknya pameran artifak peninggalan Rasulullah SAW dan para sahabat, juga berkunjung ke booth Kedai Buku Pak Latip bulan Ogos nanti.

Views: 338

Reviews for Novel Sejarah Islam Pak Latip di PBAKL 2024

There are currently no reviews for Novel Sejarah Islam Pak Latip di PBAKL 2024
Scroll to top