BANDAR PATTANI, 08.10.2022Pasar Besar Pattani di tengah bandar Pattani masih mengekalkan tradisi lama dengan hampir 99 peratus peniaga-peniaganya terdiri dari kaum hawa bukan sahaja di bahagian jualan kuih-muih, juadah sarapan pagi, hasil-hasil laut kering, bahkan di bahagian jualan ayam dan daging.
Walaupun kebanyakan pembeli membeli sarapan untuk dibawa pulang, terdapat juga mereka yang bersarapan di situ kerana terdapat gerai-gerai menjual makanan dan minuman tersedia dengan bangku dan meja untuk menjamu selera.
Antara juadah pilihan yang ringkas tetapi menyelerakan ialah nasi putih dengan pelbagai jenis sup seperti sup tulang, daging, ekor dan perut.
Kuah sup yang jernih dengan manis daging segar dan rasa kemasam-masaman masakan Thailand itu bertambah sedap bila dicampurkan dengan sambal yang disediakan.
Pengunjung pasar ini juga boleh membeli semangkuk besar bubur Thailand dengan hanya THB10 (RM1.23) sahaja.
Di samping itu kita boleh dapatkan buah-buahan, sayur-sayuran, ulam-ulaman, hasil laut segar seperti ikan, udang dan ketam juga ayam, itik dan daging dengan harga yang sederhana dan murah yang dijual oleh peniaga-peniaga Muslim.
“Pattani ini masih makmur kerana banyak barang-barang keperluan dan makanan boleh kita dapati dengan harga yang murah,” ujar Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH yang mengetuai rombongan staf GISBH melawat selatan Thailand dalam rangka menjalinkan hubungan dengan tema; Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah.
“Propaganda media massa menggambarkan ia tidak aman membuatkan kurang pelancong yang berkunjung ke sini,” tambahnya lagi.