SATUN, THAILAND 21.07.2023
Guru Sistem Pengajian Luar Sekolah daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Satun, memuji pelajar-pelajar di Pusat Latihan Pertanian Remaja Pembela Ummah (PLRPU) Islam Indah Satun di bawah GISBH Thailand kerana akhlak mereka yang terpuji ketika mengendalikan kelas-kelas pembelajaran dengan mereka di sini baru-baru ini.
Ia diceritakan oleh Saudara Najib, seorang kontraktor binaan yang juga pemilik tanah Pusat Latihan tersebut kepada Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd. Ali dan rombongan semasa lawatan beliau ke sana.
PLRPU Islam Indah seluas 1.2 ekar (3 rai) di Khuan Sato, Daerah Khuan Don, Wilayah Satun, Thailand menempatkan pelatih-pelatih RPU menjalani cara hidup Islam serta latihan pertanian seperti tanaman padi, mangga, kelapa dan penternakan seperti membela lembu, kambing, ayam dan ikan.
Seperti mana-mana pemerintah, Kerajaan Thailand mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah rendah dan menengah tetapi kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Thailand memberi kelonggaran bagi mereka yang tidak dapat mengikuti kelas pengajian yang wajib di sekolah kerajaan, dibenarkan mengikuti kelas seumpamanya seperti sekolah swasta, home school dan sistem pengajian luar sekolah.
Menurut Saudara Najib, biasanya remaja yang mengikuti kelas luar sekolah mempunyai masalah disiplin, susah mendengar cakap, susah disusun atur malah ada yang membuli guru walaupun pelajar-pelajar dari pendidikan pondok sekalipun tetapi ia tidak berlaku kepada remaja GISBH yang sangat menghormati guru walaupun bukan beragama Islam dan sentiasa memberi kerjasama kepada guru mereka.
Sebagai orang tempatan yang menyerahkan tanahnya kepada GISBH untuk dimanfaatkan sebagai pusat latihan, Saudara Najib berbangga dengan akhlak dan pergaulan RPU di sini kerana mengharumkan nama PLRPU ini kepada masyarakat kampung, guru-guru Sistem Pengajian Luar Sekolah , pegawai kerajaan khususnya Pejabat Pelajaran Wilayah samada Islam mahupun Buddha.
Begitulah kesan panduan dan didikan Tuan Pengerusi Eksekutif dan para pimpinan GISBH kepada seluruh warga GISBH yang sentiasa menegaskan persoalan bina insan kerana ia adalah aset utama yang menjadi magnet kepada semua orang untuk menghayati cara hidup Islam melalui akhlak, tingkah laku dan pergaulan.
Moga matlamat GISBH membangunkan semua projek ini demi memberi khidmat sesama manusia untuk menjadi sebaik-baik manusia mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain akan menjadi sebab orang ramai mendapat hidayah dari Allah SWT.