Pembesar daerah Hulu Langat teruja dengan kemeriahan Karnival Perkampungan Ummah Masjid Al Hasanah

Views: 9

BANGI, 09.12.2022
Pembesar daerah Hulu Langat atau Orang Besar Daerah Hulu Langat, To’ Engku Abdul Jalil bin Abdul Rani melahirkan rasa keterujaan beliau mengenai sambutan meriah yang dilihatnya di Karnival Perkampungan Ummah Tahun ke 22 Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi, di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmian karnival tersebut, beliau berkata, “Saya sangat teruja bila tiba di sini kerana masjid berwajah baru dan didatangi oleh ramai orang”.

Pembesar daerah atau orang besar daerah adalah penghulu yang merupakan Wakil Duli Yang Maha Mulia Sultan di sesebuah daerah mahupun Jajahan Takluk di dalam Negeri.

Karnival yang berlangsung dari 9-11 Disember, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), bertujuan menarik minat masyarakat ke masjid yang merupakan pusat aktiviti bagi masyarakat setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby berkata,
“Masjid itu paksi, jangan sesekali kita kosongkan masjid ini. Berazam dengan diri sendiri, setiap hari, 365 hari, kita akan cuba menjadi orang yang memberi manfaat kepada manusia lain.”

Pelbagai acara telah diadakan antaranya forum perdana, pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, perkahwinan perdana, sunathon, gerai-gerai jualan, supa dupa untuk kanak-kanak dan persembahan kebudayaan Islam.

Dalam karnival ini, syarikat GISBH telah memberi sumbangan bernilai RM5000 kepada pihak penganjur, membuka gerai jualan produk-produk keluaran GISBH, terlibat menjadi panel slot kuiz, mengadakan persembahan nasyid menerusi kumpulan Generasi Harapan dan juga persembahan seni mempertahankan diri oleh Ikhwan Martial Arts.

Pada hari terakhir karnival, pasukan RPU Bikers (Remaja Pembela Ummah) memeriahkan suasana dengan mengiringi wakil MAPIM yang menaiki motor touring BMW GS.

Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada GISBH dan RPU Bikers atas kerjasama mereka memeriahkan karnival ini.

“Tanpa GISBH dan RPU pasti hambar majlis ini”, antara ulasan pihak penganjur di atas pentas.

Di zaman Rasulullah, masjid adalah bangunan yang pertama dibina oleh baginda dan para sahabat dalam membangunkan sesuatu tempat.

Ia lambang hubungan hamba dengan tuhannya melalui ibadah sembahyang juga hubungan sesama manusia sebagai tempat pertemuan, perbincangan, mesyuarat, pusat kebajikan, perlindungan dan lain-lain lagi.

Sewajarnyalah peranan masjid itu dihidupkan kembali sebagaimana era kegemilangan Islam dahulu.

Semoga karnival seumpama ini menjadi titik tolak untuk memartabatkan institusi masjid pada peranan sebenarnya.

Views: 9

Reviews for Pembesar daerah Hulu Langat teruja dengan kemeriahan Karnival Perkampungan Ummah Masjid Al Hasanah

There are currently no reviews for Pembesar daerah Hulu Langat teruja dengan kemeriahan Karnival Perkampungan Ummah Masjid Al Hasanah
Scroll to top