MADINAH, 13.05.2023
Setelah menerima hadiah replika mangkuk Rasulullah SAW, Pengerusi Eksekutif GISBH sekali lagi mendapat penghargaan besar daripada pengasas dan pemilik Muzium Darul Madinah, Syeikh Dr. Abdul Aziz Kaa’ki dengan menghadiahkan beliau replika rumah Nabi Muhammad SAW di sini baru-baru ini.
Replika rumah baginda yang berukuran 2 meter x 1.6 meter tinggi termasuk kaki hampir 1 meter itu telah dipersiapkan untuk dihantar ke Malaysia melalui perkhidmatan kurir itu akan ditempatkan di Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) Rawang.
Replika ini mempunyai tiga buah rumah iaitu rumah Saidatina Aisyah RA, yang di tengah-tengah di mana terdapat katil di ruang tetamu, di sinilah baginda duduk dan selalu berada. Bilik Saidatina Aisyah di bahagian dalam.
Di sebelah kanan terdapat rumah Saidatina Fatimah yang mempunyai tingkap di mana setiap pagi baginda akan ke tingkap tersebut untuk membaca sepotong ayat Al Quran dengan tujuan mengejut penghuni rumah untuk bangun malam dan bersiap sembahyang Subuh.
Selepas kewafatan Rasulullah, setiap kali Saidatina Fatimah ke tingkap tersebut, beliau akan menangis mengenangkan Rasulullah SAW, yang setiap pagi mengejut mereka sekeluarga di rumah tersebut bangun sembahyang.
Di sebelah kiri rumah Rasulullah SAW pula terletak rumah Saidatina Hafsah, Ummul Mukminan RA. Itulah gambaran replika yang akan sampai ke Malaysia tidak lama lagi.
Replika dengan rekabentuk yang diukur dengan skala yang tepat dengan rumah asal baginda Nabi SAW ini disiapkan 4 tahun lalu oleh pasukan Muzium Darul Madinah di bawah seliaan Syeikh Dr Abdul Aziz Kaa’ki.
Replika rumah Nabi Muhammad SAW ini sentiasa mendapat perhatian di Saudi Arabia kerana dipamerkan di hotel lima bintang sekitar masjid Nabawi seperti hotel Pullman dan Crowne Plaza pada hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Haji dan bulan Ramadhan.
Syeikh Dr. Abdul Aziz Kaa’ki menulis dengan tulisan tangannya sendiri menghadiahkan replika ini kepada Tuan Nasiruddin Mohd Ali untuk dikongsikan kepada umat Islam.
Inilah peluang umat Islam di Malaysia khasnya untuk melihat replika rumah Rasulullah SAW yang disahkan oleh Muzium Darul Madinah kerana ia akan berada di Malaysia tidak lama lagi.
Ia merupakan persediaan awal hasrat YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH untuk mendirikan Muzium Rasulullah SAW di Malaysia sama seperti Muzium Darul Madinah yang mempamerkan perbagai artifak dan replika berkaitan dengan sejarah baginda seperti replika Masjid Nabi di bebagai era, replika peperangan-peperangan baginda seperti penerangan Uhud dan Khandak, rumah baginda dan lain-lain.
Pameran seperti ini sangat perlu untuk umat Isam memahami gambaran sejarah baginda secara praktikal dan bukan semata-mata melalui bacaan hingga menambah cinta dan rindu kepada Nabi SAW.
Usaha besar Tuan Pengerusi Eksekutif ini sepatutnya disokong oleh semua pihak memandangkan ia memberi manfaat kepada seluruh umat Islam khasnya untuk kembali kepada Allah dan Rasul-Nya lebih-lebih lagi di saat pro dan kontra masyarakat terhadap kumpulan muzik dari barat yang akan datang ke Malaysia tanpa sebarang alternatif sesuatu yang menjadi tarikan kepada umat Islam.