PUTRAJAYA, 31.07.2023
Satu program dialog dengan tajuk “Pencapaian Melayu setelah 66 tahun merdeka dan kemana hala tuju seterusnya?” di antara YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad bersama GISB Holdings Sdn. Bhd. telah diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini petang ini.
Dialog yang julung-julung kali diadakan ini dihoskan oleh Senator Bersara Dewan Negara Malaysia, Datuk Ras Adiba Radzi dihadiri di pihak GISBH oleh Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, para Ahli Lembaga Penasihat GISBH, pimpinan-pimpinan remaja GISBH lelaki dan perempuan juga saudara Ann Wang Seng sebagai tetamu.
Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, YBhg Tuan Mokhtar Tajuddin, Pegawai Tadbir Syarikat GISBH yang menyampaikan rasa gembira Tuan Pengerusi Eksekutif dan semua warga GISBH serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun Mahathir kerana sudi mengadakan dialog ramah mesra dan kasih sayang ini untuk lebih mengenali sosok tubuh orang yang sangat berjasa menjaga negara ini selama lebih 22 tahun hingga mendapat jolokan ‘Harimau Asia’.
Pengerusi juga menyorot beberapa perkembangan terkini Syarikat GISBH di Thailand dan Indonesia juga berkaitan projek Empayar Ayam Ikhwan dan Sukan Sunnah berkuda sebelum menyerahkan majlis sepenuhnya kepada Senator Bersara, Datuk Ras Adiba Radzi sebagai moderator.
Ketika menjawab soalan adakah halatuju kita sekarang selari dengan halatuju yang dicita-citakan sejak 66 tahun kemerdekaan negara kita Malaysia, Tun Mahathir mengatakan dalam jangka masa 66 tahun ini, kemajuan orang Melayu tidak berlaku seperti yang dirancang seperti kaum lain yang lebih maju jauh ke hadapan, hingga jarak mereka dengan orang Melayu menjadi begitu luas, ramai orang Melayu miskin sedangkan orang bukan Melayu dapat segala kekayaan yang ada dalam negara.
“Bukan tidak ada usaha yang dibuat untuk memajukan orang Melayu tetapi kita dapati bahawa sikap dan budaya orang Melayu tidak mendorong kepada mereka merebut peluang untuk menjayakan diri mereka.”
“Peluang yang sama telah diberi bahkan kadang-kadang lebih kepada orang Melayu tetapi mereka masih jauh ketinggalan kerana sikap dan budaya orang Melayu tidak mendorong mereka merebut peluang untuk menjayakan diri mereka.”
“Kebolehan orang Melayu tak kurang berbanding orang Cina, bahkan orang putih pun tetapi usaha tidak ada.”
“Kalau kita ada kebolehan yang cemerlang sekalipun kalau tidak berusaha menggunakan kebolehan itu, kita tak dapat kemajuan dan tidak berusaha ini menjadi sebahagian dari budaya kita. Kita tidak usaha walhal kalau kita usaha, mereka yang usaha memang berjaya.”
“Kumpulan seperti Ikhwan ini, mereka berjaya menggerak anak Melayu supaya mereka berusaha dan kita dapati kumpulan ini amat berjaya,” ujar Tun.
Menjawab soalan moderator, adakah kumpulan Ikhwan ini patut dicontohi?
Tun berkata, “Memang patut dicontohi, entah bagaimana kumpulan Ikhwan ini dapat menerapkan semangat usaha itu kepada ahli-ahlinya dan pengikut-pengikutnya. Dengan itu mereka telah berjaya dalam macam-macam bidang termasuk bidang pembuatan pun kerana ada dorongan, kebolehan ada, samada kita cuba atau tidak. Kalau kita tak cuba tak boleh, sebab itu semangat untuk maju diri itu amat penting, kalau tak ada semangat itu, kita tak akan berjaya.”
Tuan Nasiruddin Mohd Ali pula ketika diminta oleh moderator untuk menceritakan apa yang beliau lakukan terhadap remaja di dalam GISBH berkata, “Anak-anak muda ini dibawa supaya tidak terpisah di antara Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Kalau terpisah, kadang-kadang dalam usaha kita, kita lupa kita orang Islam.”
“Maksudnya kita buat perusahaan tapi kita lupa dengan Allah. Kadang-kadang niaga-niaga, lupa sembahyang. Ini kita selarikan, kita sentiasa awasi dan itulah disiplin sebab bagi kami sembahyang itu dah cukup disiplin.
“Sembahyang itulah pengaduan hati kita dengan Allah dan selepas itu kita akan berurusan dengan manusia. Beginilah kita didik remaja-remaja ini.
“Satu lagi Tun selalu sebut, Melayu mudah lupa. Lupa ni sebenarnya pemalas, degil, nak jadi ketua, nak jadi macam-macam sampai dia terlupa nak berkhidmat. Orang-orang dulu-dulu, ukhuwah di kampung macam adik beradik, anak-anak seperti anak bersama, hubungan tak putus. Terputus itu macam tak kenal, kita sibuk dengan hal-hal kita, terlupa nak sembahyang, tidak ada nak berkasih sayang sesama manusia, seperti yang Tun sebut, Melayu mudah lupa, lupa diri.
“Itu yang Tun kata, ada tanah jual tanah, dia terlupa. Bila dah tak ada tanah, duit tak ada, nak buat apa? Jadi kehinaan lah jadinya. Akhirnya dapat pada orang lain. Atas lupanya Melayu ini, dalam GISB kita train balik anak-anak muda ini agar kita tidak putus dengan Allah dan tidak putus dengan manusia.
“Kami ada 3700 remaja lelaki dan perempuan dalam GISB dan kami buat apa sahaja perusahaan dan apa saja khidmat untuk manusia-manusia yang lain,” kata Tuan Nasiruddin Mohd Ali menerangkan didikan remaja di dalam GISBH.
Program dialog kasih sayang ini memberi peluang generasi muda dalam GISBH mendengar sendiri jawapan dari seorang negarawan tentang apa sahaja persoalan berdasarkan ilmu dan pengalaman beliau yang sangat luas.
Majlis diakhiri dengan jamuan minum petang sambil menonton persembahan ‘Hadrah’ daripada kumpulan Akademi Generasi Harapan diikuti sesi bergambar dan pemberian hadiah dan cenderamata.
Moga dapat diadakan pertemuan berkala GISBH dengan YABhg Tun Dr Mahathir untuk mengambil ilmu, nasihat dan pengalaman juga perbincangan dua hala yang memberi manfaat kepada seluruh umat Islam.
Pembaca boleh mengikuti dialog penuh GISBH bersama Tun Dr Mahathir di https://www.youtube.com/live/u41HYjZp1pY?feature=share