KUALA LUMPUR, 05.04.2023
Atas undangan Senator Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH telah mengadakan lawatan rasmi ke bangunan Parlimen Malaysia sebagai tetamu hari ini, di sini.
Pengerusi Eksekutif diiringi 13 anggota rombongan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dan para ALP, para Pengarah Zon dan pimpinan Muslimah serta beberapa orang daripada pasukan Media Ikhwan.
Di perkarangan Parlimen, rombongan bertemu dan bersalaman dengan Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang merupakan mantan Menteri Luar Negeri Malaysia, bekas Ahli Parlimen Kimanis dan baru-baru ini beliau dilantik menjadi Senator Dewan Negara.
Seterusnya rombongan disambut mesra oleh YB Datuk Dr Ras Adiba Radzi yang diiringi Pegawai Perhubungan Parlimen yang bertugas memberi penerangan di setiap tempat lawatan.
YB Senator Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi adalah kenalan baharu YBhg Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH sewaktu beliau berkunjung ke Mekah. Beliau adalah seorang ahli politik, aktivis masyarakat dan penyampai berita popular yang pernah berkhidmat di TV3 ntv7 dan juga BERNAMA sebagai wartawan penyiaran, pengacara televisyen dan pengulas sukan.
Beliau juga merupakan salah seorang penembak paralimpik Malaysia. Beliau ialah seorang wartawan siaran, pembaca berita, penyampai, penyair, penyanyi lagu puisi, pengarah dan penerbit. Beliau telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 20 Mei 2020 bagi mewakili orang kelainan upaya. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu.
Untuk permulaannya rombongan dibawa ke Dewan Rakyat tempat bersidangnya 222 orang ahli parlimen yang mewakili satu kawasan pilihanraya. Pemilihan ahli-ahli dijalankan lima tahun sekali melalui proses pilihanraya umum.
Oleh kerana tiada persidangan hari ini, ahli rombongan dibenarkan masuk ke dalam dewan dan mendapat taklimat yang jelas dari Cik Normaizatul Anis Jamalluddin, pegawai perhubungan yang bertugas.
Tempat-tempat duduk di dalam dewan telah ditentukan untuk setiap kumpulan seperti menteri-menteri, timbalan menteri, ahli parlimen kerajaan, ahli parlimen pembangkang dan para tetamu.
Setelah bertemu dengan Perdana Menteri beberapa hari lalu, kali ini pimpinan GISBH berpeluang bergambar di sebelah kerusi beliau di dalam Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Seterusnya rombongan dibawa oleh Senator Ras Adiba ke Dewan Negara dan berpeluang mengikuti perbahasan Ahli-ahli Dewan Negara mengenai pelbagai isu antaranya berkaitan kapal perang LCS, keterjaminan makanan dan bekalan beras juga masyarakat madani.
Dewan Negara mengandungi 70 orang ahli iaitu 2 orang ahli dipilih dari setiap 13 Dewan Undangan Negeri dan 44 orang lagi dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan kepada pengalaman dan kebijaksanaan mereka, atau mewakili kaum minoriti, golongan professional, golongan korporat dan golongan-golongan lain.
Tempoh jawatan seseorang Senator (Ahli Dewan Negara) ialah tiga tahun untuk satu penggal dan boleh dilanjutkan kepada dua penggal. Dewan Negara tidak terjejas dengan pembubaran Parlimen.
Setelah selesai sesi perbahasan, Senator Ras Adiba membawa rombongan bertemu dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim bergambar dan berbual mesra.
Tan Sri gembira mendengar perancangan Pengerusi Eksekutif GISBH untuk membina empayar ayam dengan membangunkan ternakan ayam berskala besar di seluruh rantaiannya dan berhasrat untuk melawatnya apabila telah sedia untuk lawatan.
Rombongan juga dibawa ke Perpustakaan Parlimen di mana semua perbahasan di Parlimen direkodkan dan disimpan dalam bentuk tulisan untuk rujukan. Di sini juga terdapat bahan-bahan bacaan untuk rujukan para pengunjung.
Senator Ras Adiba juga membawa rombongan ke pejabat beliau dan menerangkan hasratnya untuk mewujudkan kediaman yang mempunyai alat bantu yang lengkap untuk golongan kurang upaya kerana menurut beliau menjelang 2030 akan ramai warga tua yang menghadapi masalah kesihatan di Malaysia.
Mewujudkan rumah-rumah yang menepati Piawai Malaysia MS 1184 iaitu yang sesuai dengan golongan kurang upaya mengurus diri mereka walaupun tanpa bantuan orang lain.
Beliau berharap GISBH akan menjadi rakan kongsi dalam perlaksanaan hasrat mulia ini.
Moga sesi lawatan selama lebih dua jam ini memberi manfaat kepada GISBH dalam memahami pentadbiran negara Malaysia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan juga dapat meneruskan kerjasama khususnya dengan Senator Ras Adiba.