Pengerusi Eksekutif GISBH bertemu Tun Mahathir di rumah Terbuka Datuk Malik Mydin

Views: 198

CYBERJAYA, 12.05.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH bertemu dengan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Muhammad di Majlis Rumah Terbuka Datuk Abdul Malik Mydin di sini semalam.

Antara yang hadir sebagai tetamu VIP ialah Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Muhammad, Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Duta Besar Tajikistan ke Malaysia, Duta Besar Afghanistan ke Malaysia dan Pengusaha Restoran Arab.

Di awal perbualannya, Tun Mahathir menceritakan tentang orang Melayu yang miskin dan kurang berjaya terutama di sudut ekonomi tetapi kemudian sambil menunjuk ke arah Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali, beliau menyebut, “Tapi mereka ini dah buat semua benda dan berjaya…”

Di pertemuan kali ini, YDH Tuan Pengerusi Eksekutif sempat menyerahkan Booklet Profile GISBH, Booklet XPDC Thailand 1 & 2 dan Majalah Newsweek terkini yang terdapat liputan berkaitan GISBH.

Selepas jamuan makan malam, perbualan disambung dengan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH mewakili Pengerusi Eksekutif berkongsi mengenai projek Ayam Sihat Ikhwan yang menjadi hasrat Pengerusi Eksekutif untuk dibuat berskala besar dan secara integrator dari A hingga Z.

Menjawab soalan Tun Mahathir, selain Malaysia di mana lagi akan diwujudkan ladang penternakan Ayam Ikhwan, Tuan Pengerusi Eksekutif memaklumkan bahawa GISBH telah memulakan kerjasama dengan Dr Bhokin Bhalakula, Mantan Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Kerajaan Selatan Thailand.

Tuan Pengerusi Eksekutif melalui wakilnya, sempat menunjukkan klip video ucapan Dr Bhokin yang sangat teruja apabila menikmati juadah dari Ayam Sihat Ikhwan lalu menawarkan bangunan miliknya di Suan Palm untuk dijadikan Restoran Halal yang diberi nama Blue Macaw Cafe.

Dimaklumkan juga kepada Tun bahawa telah berlangsung dua pusingan ternakan ayam di Suan Palm, juga di bangunan milik Dr Bhokin bahkan beliau bersetuju diteruskan penternakan Ayam Sihat Ikhwan dan ayam penelur di tanah miliknya seluas 14 ekar.

Selain itu, Tuan Pengerusi Eksekutif juga sempat menunjukkan air Jus Buah Ikhwan hasil kerjasama GISBH dengan syarikat pengeluar jus buah di Mekah, Saudi Arabia dan air mineral Ikhwan dari Wadi Fatimah, Mekah.

Mantan Perdana Menteri itu juga dipelawa datang ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah, salah satu projek GISBH di Saudi yang sangat menjadi tumpuan jemaah umrah dengan ternakan haiwan kesayangan Rasulullah seperti unta, kuda dan kambing, sukan sunnah memanah serta hidangan juadah makanan Malaysia dan chalet untuk penginapan.

Sebelum Tun Mahathir beredar, Tuan Pengerusi Eksekutif sempat menyerahkan hamper berisi produk Ikhwan termasuk Jus Buah Ikhwan kepada Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah dan Dato Malik diikuti sesi bergambar.

Moga setiap pertemuan sesama umat Islam dimanfaatkan untuk menguatkan agama, bangsa dan negara lebih-lebih lagi bila berpeluang bersama dengan seorang negarawan seperti Tun Mahathir.

Views: 198

Reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH bertemu Tun Mahathir di rumah Terbuka Datuk Malik Mydin

There are currently no reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH bertemu Tun Mahathir di rumah Terbuka Datuk Malik Mydin
Scroll to top