KUALA LUMPUR, 27.04.2024
Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. Ybhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, hari ini telah menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri atas jemputan YBhg Datuk Seri Akhil Bulat, Bekas Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang juga Pengarah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur atau World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Kehadiran Tn. Hj. Nasiruddin yang diiringi isteri ketiganya yang juga Ahli Lembaga Penasihat (ALP) Muslimah GISBH, Pn. Hjh. Azura Mohd Yusuf dan rombongan disambut oleh Datuk Seri Akhil dan isterinya Datin Seri Ruziha Hanam.
Turut serta dalam rombongan GISBH seramai 15 orang itu ialah YBhg Tn. Hj. Mohd Fadhil Yasin, ALP GISBH serta isteri, YBhg Pn. Hjh. Roqaiyah Zakaria.
Walaupun baru sampai dari Istanbul, Tn. Hj. Nasiruddin tetap berbesar hati menerima jemputan Datuk Seri Akhil yang merupakan tokoh yang sangat disegani dalam PDRM.
Beliau merupakan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 9 tahun. Antara anak didik beliau ialah Datuk Seri Ayob Khan, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Hj. Baharuddin bin Hj. Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Antara pelapis yang beliau lahirkan juga ialah Pengarah Cawangan Khas Malaysia, Datuk Mohd Khalid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Tan Sri Hamid Bador, mantan KPN juga pernah menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas Malaysia di bawah beliau.
Datuk Seri Akhil Bulat telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama 26 tahun, dan telah memulakan kerjayanya pada tahun 1989 sebagai Pegawai Staf Penyelidik Sabah dan bersara pada 2015.
Berpengalaman luas dalam penyeliaan dan pentadbiran kanan perkhidmatan kerajaan dan mempunyai hubungan antarabangsa yang erat dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan negara-negara ASEAN.
Majlis Sambutan Aidil Fitri anjuran Datuk Seri Akhil dan isteri ini meriah dengan kehadiran ramai pimpinan PDRM dan juga mantan nama-nama besar dalam bidang kepolisian negara.
Menariknya Datuk Seri Akhil sendiri mempertemukan dan memperkenalkan Tn. Pengerusi Eksekutif GISBH dengan para tetamu yang hadir. Kebanyakan mereka yang hanya pernah mendengar nama Tn. Hj. Nasiruddin telah mengambil kesempatan bertanya khabar dan bergambar bersama.
Ada juga yang berpeluang duduk semeja sambil menyatakan pengalaman mereka berkunjung ke Restoran Nur Malaysia milik GISBH di luar negara.
Mereka berharap dan berdoa GISBH akan terus mencipta kejayaan dalam berbagai bidang yang diceburi dan mengingatkan untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat Malaysia dan antara bangsa.
Majlis yang diserikan dengan persembahan artis jemputan telah memberi penghormatan kepada pihak Tn. Hj. Nasiruddin di mana wakil GISBH yang juga penasyid utama dari Kumpulan Mawaddah (Sekarang dikenali dengan Kumpulan Generasi Harapan) iaitu Puan Khaulah Ashaari dijemput menyampaikan sebuah nasyid berkaitan dengan situasi pemergian Ramadhan.
Moga majlis yang berjaya menghimpunkan golongan masyarakat berbilang bangsa dan agama dengan pelbagai latar belakang ini akan terus menjadi pemangkin kepada suasana mesra dan harmoni yang berteraskan kasih sayang sesama insan yang merupakan fitrah semula jadi manusia sejagat.