SATUN, THAILAND 20.07.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali diiringi Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman serta 11 orang lagi pimpinan dan staf GISBH telah berkunjung ke sebuah institusi kewangan terkenal, Koperasi Ibnu Auf (KIA) atas jemputan daripada Pengerusi Eksekutif (KIA) sendiri, Ustaz Haji Abdullah Ayubi, 66 di sini hari ini.
Rombongan GISBH diiringi oleh En. Muhammad Najib, seorang kontraktor binaan yang merupakan kenalan rapat Tuan Pengerusi Eksekutif sampai ke perkarangan bangunan baru Koperasi Ibnu Auf yang bernilai 4 juta Bhat dan dibawa ke tingkat 4 menuju ke dewan mesyuarat.
Seelok keluar dari lif, rombongan disambut oleh Ustaz Hj. Abdullah Ayubi yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Satun lalu dibawa masuk ke dewan mesyuarat KIA yang luas dan menarik seperti hotel.
Antara wakil dari KIA yang hadir ialah Ketua Pengarah KIA Mr. Umar Akem dan Ketua Jabatan Syariah KIA, Ustaz Ismail Ibrahim.
Ustaz Hj Abdullah Ayubi memperkenalkan dirinya dan pasukannya dan mendengar pengenalan pihak GISBH daripada En Maaruf Kasim, Pegawai Tadbir Syarikat GISBH.
Menurut Ustaz Hj. Abdullah yang fasih berbahasa Melayu dan merupakan kawan kepada Almarhum Tuan Muhammad Adam, mantan pengarah GISBH Thailand, beliau mengenali GISBH melalui video profil syarikat dan penerangan daripada En. Muhammad Najib.
Beliau tertarik dengan GISBH kerana padanya, GISBH banyak persamaan dengan Koperasi Ibnu Auf yang ingin melaksanakan Islam secara syumul di seluruh aspek kehidupan.
Rombongan berpeluang menonton video profil berkenaan KIP dan video profil GISBH dengan alih suara Thailand yang diberi perhatian penuh oleh Tuan Hj. Abdullah dan pasukan KIA.
Di seluruh Thailand terdapat hampir 40 buah koperasi Islam dan KIA sendiri telah beroperasi sejak 30 tahun yang lalu dengan mengambil panduan dari Bank Muamalat di Malaysia dan mempunyai lebih 300 ribu orang ahli berdaftar.
Sekarang KIA mempunyai 7 cawangan biasa di seluruh Thailand dan 1 cawangan bergerak. Ia berperanan seperti bank dengan menyediakan perkhidmatan simpanan wang yang dinamakan wadi’ah, insuran takaful, usaha sama perniagaan samada musyarakah atau mudharabah, pinjaman dan simpanan tabung haji dan umrah.
Di samping itu KIA juga mempunyai yayasan yang membuka sekolah, rumah anak yatim, hospital dan lain-lain serta mempunyai kerjasama dengan Yayasan Insan dan yayasan Maarif di Turki juga UNIMEP Perlis, UNITAR Melaka dan Kolej UNITI Port Dickson di Malaysia.
Setelah menonton video profil GISBH, Tuan Hj. Abdullah mengulangi kata-kata bahawa KIA banyak persamaan dengan GISBH kerana bercita-cita mengamalkan Islam secara syumul di seluruh aspek kehidupan.
Beliau sangat berbangga apabila menonton video rombongan haji dan umrah melawat Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah dan membaca Booklet Kembara Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah Tuan Pengerusi Eksekutif di Thailand juga mendengar berita perkembangan GISBH berdakwah menggunakan kenderaan mewah ‘Motorhomes’.
“Kalaulah semua orang Islam berfikiran seperti Tuan Pengerusi Eksekutif, aman damai dunia ini,” ujar Ustaz Hj. Abdullah Ayubi yang juga menyatakan hasratnya untuk membalas lawatan ini dengan berkunjung ke pusat pentadbiran GISBH di Bandar Country Homes, Rawang.
Moga pertemuan dengan anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang di Thailand ini akan menambah ukhuwah dan kasih sayang di antara kedua belah pihak untuk terus bekerjasama bagi kebaikan Islam dan umatnya.