ISTANBUL, 23.11.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tn Hj Nasiruddin Mohd Ali menerima plak penghargaan daripada penganjur Ekspo Halal OIC 2023 bagi pihak GISB Holdings sebagai penaja utama dan penglibatan GISBH dalam Ekspo Halal OIC secara konsisten dengan rekaan booth yang berwibawa di Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Halal 2023 di sini hari ini.
Plak penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Turkiye, Prof Dr Omar Bolat di pentas sebaik selepas beliau menyampaikan ucapan perasmian.
Terdahulu, perasmian acara yang bermula jam 10.00 pagi di Dewan Utama Sidang Kemuncak yang mengumpulkan umat Islam sedunia ketika Palestin diuji dengan serangan brutal dari Israel ini dimulai dengan bertafakkur seketika bagi menghormati rakyat Palestin yang terbunuh syahid dan yang menderita akibat serangan tersebut.
Program diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh İshak Danis dan ucaptama oleh Mr. Emre Ete, Naib Presiden Majlis Sidang Kemuncak Halal (World Halal Summit Council).
Ia diikuti dengan persembahan Seni Pasir (secara rakaman audio visual) yang menceritakan serangan Israel ke atas Palestin dengan di penghujungnya Presiden Erdogan mengajak dunia bangun untuk selamatkan Palestin.
Program diakhiri setelah penyerahan plak pernghargaan dengan sesi pemotongan riben perasmian dan bergambar beramai-ramai.
Setelah menerima plak penghargaan sebagai Penaja Utama, Pengerusi Eksekutif GISBH mendapat ucapan tahniah daripada pelbagai pihak di antaranya Konsul General Indonesia, Konsul General Malaysia dan wakil-wakil dari pelbagai negara serta bergambar dengan beliau di atas pentas bersama Plak Penghargaan tersebut.
Moga Allah memberkati setiap usaha yang dibuat oleh pimpinan GISBH untuk mempamerkan Islam sangat relevan untuk dijadikan sebagai cara hidup walaupun berada di dunia akhir zaman yang terlalu rosak dengan pelbagai agenda yang menjauhkan manusia dari Tuhan.