Pengerusi Eksekutif GISBH mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Oman

Views: 836

MUSCAT, 13.12.2023
Pengerusi Eksekutif (PE) GISB Holdings Sdn. Bhd. YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali dan rombongan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Oman, TYT Shaiful Anuar Mohammad di Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Tn. PE GISBH turut diiringi oleh dua Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH dan 7 pimpinan yang lain.

Di kedutaan, TYT Duta yang baru pulang dari pertemuan dengan seorang ahli perniagaan dari Korea, yang juga mantan Duta Korea ke Oman, mempelawa Tn PE dan rombongan untuk ke lobi pertemuan di tingkat satu.

Setelah mengiringi Tn. PE GISBH menandatangai buku pelawat, TYT Duta memulakan perbualan di ruang tetamu dengan memperkenalkan diri dan menceritakan kepentingan hubungan diplomatik Oman kepada Malaysia.

Menurut beliau, Oman antara pengimport minyak kelapa sawit Malaysia dan hubungan dagangan antara kedua negara sangat baik.

Tn. Pengerusi Eksekutif pula memperkenalkan diri dan ahli rombongan iaitu Tn. Hj. Hasnan Abdul Hamid sebagai ALP dan juga Ketua Pegawai Operasi GISBH, Tn. Hj. Mohd Fadhil Yassin sebagai ALP serta 3 orang Pengarah Zon dan Pegawai Tadbir Syarikat.

Di kesempatan itu juga, Tn. Hj. Nasiruddin menceritakan perkembangan GISBH khususnya penyertaan GISBH di Sidang Kemuncak Halal dan Ekspo Halal OIC di Istanbul, Turkiye baru-baru ini.

Tn. PE GISBH juga menjelaskan maksud motto GISBH, Silaturahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah yang merupakan satu usaha Tn. PE untuk mempromosikan Islam adalah cara hidup kepada masyarakat.

TYT Duta menyambut baik usaha murni tersebut memandangkan ramai umat Islam sendiri sekarang, yang masih mengamalkan Islam di sudut-sudut tertentu sahaja.

Tn. PE juga menyatakan hasrat GISBH untuk membuka cawangan perniagaan makanan dan minuman di Oman agar hubungan dengan para kenalan di sini terus berpanjangan.

Di pihaknya, TYT Duta bersedia untuk memberi nasihat dan pandangan agar hasrat murni Tn. PE GISBH dapat direalisasikan dengan mematuhi semua undang-undang serta peraturan negara Oman.

Di hujung pertemuan Tn. PE GISBH menghadiahkan produk-produk Ikhwan yang dibawa dari Malaysia, Mekah dan juga Dubai kepada TYT Duta dan diakhiri dengan sesi bergambar.

Moga pertemuan awal ini akan berterusan menjadi hubungan baik kedua belah pihak untuk GISBH terus berkembang dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya di Oman yang merupakan negara ke 18 dibuka cawangan GISBH.

Views: 836

Reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Oman

There are currently no reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Oman
Scroll to top