Pengerusi Eksekutif GISBH menunaikan umrah Syawal bersama rakan perniagaan

Views: 26

MEKAH, 14.04.2022
Seramai 38 orang staf GISBH Mekah diketuai oleh Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, CEO GISBH, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, menunaikan ibadah umrah di Baitullah hari ini, 12 Syawwal 1443 Hijrah.

Turut menyertai rombongan umrah GISBH kali ini ialah rakan perniagaan GISBH Syeikh Abdullah Abdul Halim Tsabit Al-Yameni yang banyak memperkenalkan GISBH dengan ahli-ahli perniagaan ternama di Saudi. Selainnya rombongan juga disertai oleh Dr. Hesham Fouad Abdelazim Elerian.

Syeikh Abdullah Al-Yameni sangat teruja dan gembira kerana selama ini sibuk dan fokus dengan urusan perniagaan semata-mata tetapi kali ini dapat mengerjakan ibadah umrah bersama-sama pimpinan dan staf GISBH yang sudah seperti keluarga sendiri.

Bertawaf beramai-ramai sambil bertasbih, bertakbir, berzikir, berdoa, merintih, mengharap dan meminta kepada Allah ketika menjadi tetamu-Nya di rumah-Nya untuk keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran ummah dengan penuh harapan agar Allah tidak menolaknya.

Ketika menunaikan Saie, salah satu rukun umrah, YBhg Tuan PE, YH Dato’ CEO berlari-lari anak beramai-ramai bersama remaja GISBH di kawasan lampu hijau yang disediakan sebagai mengimbau sejarah Siti Hajar yang berkat yang berlari-lari penuh cemas dan bimbang mencari-cari air minum anaknya yang kehausan.

Ibadah umrah diakhiri dengan amalan Tahallul iaitu menggunting sedikit rambut di kepala tanda bersyukur kepada Allah yang mengizinkan ibadah ini dapat disempurnakan.

YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali juga menyewa tiga buah bilik hotel yang menghala ke Kaabah Al-Musyarrafah agar jemaah dapat berdoa berlama-lama sambil melihat Kaabah secara langsung sebelum dan selepas mengerjakan umrah kerana untuk berlama-lama di dalam Masjidil Haram tidak dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan.

Selesai menunaikan umrah, YBhg Tuan Pengerusi GISBH dan rombongan terus menuju ke restoran Nur Malaysia Al-Haram, yang berada di Menara Sofwah.

Restoran ini merupakan salah satu daripada 118 buah restoran GISBH yang menyediakan pelbagai menu masakan Malaysia dan ia mula beroperasi di awal bulan Ramadhan baru-baru ini.

Moga ibadah umrah seluruh anggota rombongan diterima Allah dan segala doa yang dipanjatkan dikabulkan-Nya demi kebaikan dunia akhirat seluruh umat Islam.

Views: 26

Reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menunaikan umrah Syawal bersama rakan perniagaan

There are currently no reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menunaikan umrah Syawal bersama rakan perniagaan
Scroll to top