Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan Perkuburan Jannatul Baqi’

Views: 28

MADINAH, 20.06.2022
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid An-Nabawi di sini pagi ini.

Beliau yang diiringi YBhg Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Ahli Lembaga Penasihat GISBH dan pimpinan GISBH lelaki dan perempuan antaranya Tuan Syurahbil Amran, Tuan Mohd Suhaimie Mohammed, Puan Ummu Mubarakah At-Tamimi dan Puan Aziah Mohd Jani memasuki Masjid An-Nabawi melalui Babus Salam, melewati Raudhah terus ke hadapan Makam Nabi Muhammad SAW.

Oleh kerana bilangan pengunjung ke Masjid An-Nabawi tidak terlalu ramai pagi ini, Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan rombongan berpeluang berhenti agak lama di hadapan makam Nabi Muhammad SAW yang juga terdapat makam Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan makam Saiyidina Umar Al-Khattab dan sempat memanjatkan doa di tempat yang penuh berkat ini.

Setelah itu rombongan meneruskan program menziarahi Perkuburan Jannatul Baqi’ di sebelah Masjid Nabi di mana terdapat lebih 10,000 orang para sahabat Nabi SAW dikebumikan di situ termasuk di kalangan Ahlul Bait Nabi SAW.

Antara mereka yang dimakamkan di sini ialah isteri-isteri Rasulullah SAW, juga dikenal sebagai Ummahatul Mu’minin (Ibu orang yang beriman) termasuk Saiyidatina Aisyah, Saiyidatina Hafsah dan Saiyidatina Saudah.

Anak-anak dan cucu Baginda SAW juga dimakamkan di sini, iaitu Saiyidatina Fatimah az-Zahra, Saiyidatina Ruqayyah, Saiyidatina Zainab, Saiyidatina Ummi Kalthum, dan anak lelaki Rasulullah, Saiyidina Ibrahim juga Saiyidina Hasan bin Ali (cucu Rasulullah SAW). Selain itu ibu saudara Rasulullah SAW iaitu Saiyidatina Safiyyah dan Saiyidatina Atiqah juga dikuburkan di Jannatul Baqi’ ini. Terdapat juga makam Saiyidina Usman bin Affan (khalifah ketiga juga menantu Rasulullah SAW) serta dan Makam Halimatus Sa’diyah (ibu susu Nabi SAW).

Moga dengan kemuliaan menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat baginda serta Ahlul Bait, Allah kabulkan segala doa dan tunaikan hajat-hajat para pimpinan GISBH untuk kebaikan umat Islam seluruhnya.

Views: 28

Reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan Perkuburan Jannatul Baqi’

There are currently no reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan Perkuburan Jannatul Baqi’
Scroll to top