Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Syeikh Mustafa Al-Mubarak di vilanya di Istanbul, Turkiye

Views: 1,220

ISTANBUL 15.09.2023
Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali dan bersama rombongan seramai 17 orang telah mengunjungi seorang tokoh sufi, Syeikh Mustafa Al-Mubarak di vilanya yang terletak di Tepekent di sini baru-baru ini.

Turut mengiringi beliau ialah Puan Ummu Mubaraqah, Ketua Muslimah Pusat GISBH, Tuan Syurahbil Amran, Pembantu Peribadi PE, Tuan Abul Fida’ Nasiruddin, Pengarah Zon Turkiye Eropah, Puan Azie Jani, beberapa orang RPUL dan anak-anak.

Syeikh Mustafa merupakan seorang tokoh sufi yang terkenal sangat mencintai Rasulullah SAW yang selalu dikunjungi ramai orang bahkan oleh tokoh-tokoh negara kerana mengambil keberkatan dan memohon doa daripadanya.

Rombongan yang bergerak selepas Maghrib sampai di kediaman Syeikh Mustafa sekitar jam 8 malam kerana vila GISBH Istanbul tidak terlalu jauh dari situ.

Sebaik sahaja sampai di vila Syeikh Mustafa Al-Mubarak, YBhg Tuan Hj. Nasiruddin terus bersalaman dan duduk di sebelah Syeikh Mustafa Al-Mubarak yang sangat beria-ia menyambut beliau walaupun kelihatan agak lemah sambil berulang kali menyebut;
“Selamat datang Syeikh!,”

YBhg Tuan PE menyampaikan salam daripada Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada Syeikh Mustafa Al-Mubarak dan keduanya saling bertanya khabar.

Tuan Hj Nasiruddin mengambil peluang memperkenalkan Jus Ikhwan dengan membuka botol Jus Ikhwan dan memberinya kepada Syeikh Mustafa sambil berkongsi maklumat berkenaan jus tersebut yang dikilangkan di Mekah dan telah dipasarkan ke Malaysia dan akan dibawa ke Turkiye.

Syeikh Mustafa Al-Mubarak sangat seronok dan merespon spontan,
“MasyaAllah, masyaAllah… Jus ini sangat sedap dan rasanya natural.”

Beliau juga bertanya mengapa Puan Azura Mohd Yusof tidak hadir dan Tuan PE maklumkan Puan Azura mempunyai tugasan di Malaysia.

YBhg Tuan PE berkongsi perkembangan GISBH kepada Syeikh khususnya beliau banyak memberi tumpuan di Malaysia untuk membangunkan empayar ayam kerana di Malaysia, industri ayam dikuasai oleh bukan Islam.

“MasyaAllah, Syeikh Nasir buat usaha yang baik yang sepatutnya orang Islam kena buat,” Syeikh Mustafa Al-Mubarak.

Syeikh Mustafa sempat bertanya khabar Pak David dan bertanya tentang ubat yang sesuai untuk pernafasannya yang kurang lancar.

Syeikh Mustafa juga bertanya berkenaan tugas-tugas Tuan PE di Malaysia di mana Tuan PE kongsikan semuanya dalam keadaan baik dan warga GISBH semuanya menunggu kunjungan Syeikh Mustafa ke Malaysia lalu beliau mengatakan jika beliau diberi kesihatan yang baik, InsyaAllah beliau akan sampai ke Malaysia.

Rombongan staf GISBH , atas permintaan YBhg Tuan PE menyampaikan hadiah beberapa buah nasyid untuk Syeikh Mustafa Al-Mubarak sebelum memohon izin pulang.

Syeikh Mustafa pula mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan Tuan PE dan rombongan agar datang lagi mengunjungi beliau.

Begitulah kasih sayang kerana Allah dan Rasul, bertemu untuk berkasih sayang, berpisah pula bertambah rindu dan saling mendoakan.

Views: 1,220

Reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Syeikh Mustafa Al-Mubarak di vilanya di Istanbul, Turkiye

There are currently no reviews for Pengerusi Eksekutif GISBH menziarahi Syeikh Mustafa Al-Mubarak di vilanya di Istanbul, Turkiye
Scroll to top