Pengiktirafan kemahiran staf GISBH melalui pensijilan SKM

Views: 31

SG. PENCHALA, 21.09.2022
Seramai 8 staf GISBH telah menjalani Peperiksaan Penilaian Amali (PPT), bidang kulinari, di restoran Ikhwan Delights Sungai Penchala anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) di sini baru-baru ini dan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Peserta terlibat adalah En. Jundullah Abu Hassan (87%), En. Izzuz Zaman Pfordten (91%), Tuan Hj Nazif Jamaluddin (91%), En. Tholhah Muhd Rom (93%), Puan Azni Jalilah Mohd Ani (97%), Puan Jamaliah Diso (88%), Puan Noraidah Hasim (85%) dan Puan Wajihah Che Aman (98%) .

Peperiksaan anjuran JPK ini dikendalikan Pegawai Pengesah Luaran (PPL)nya, En. Mohamad Anuar Abd Rani yang juga merupakan pensyarah di Institut Pengurusan dan Teknologi Antarabangsa (IIMAT College) dan seorang Chef yang sangat berpengalaman.

En. Anuar dibantu staf GISBH Cik Sabariah Sinuh yang juga merupakan penyelaras PPA-PPT restoran Ikhwan Delights Sg Penchala yang telah ditauliah JPK.

Peperiksaan yang julung-julung kali diadakan itu menunjukkan kesemua 8 staf GISBH lulus dan layak untuk mendapat SKM Tahap 2 di bidang Penyediaan dan Pembuatan Makanan, malah ada yang layak untuk mendapat SKM Tahap 3 dan boleh disegerakan untuk permohonan SKM Tahap 4 yang setaraf diploma atau disebut juga DKM (Diploma Kemahiran Malaysia).

Sesuai dengan keperluan semasa, GISBH sedang menjalankan usaha mendapatkan pengiktirafan dan pensijilan kepada para staf yang telah dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran secara terus di bidang berkaitan sejak sekian lama.

Pensijilan staf GISBH diperolehi melalui Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) di bawah pantauan JPK atau dikenali sebelum ini sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), KSM.

SPKM diperolehi melalui 2 kaedah iaitu Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) atau Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Melalui PPT, staf GISBH ditauliahkan SKM dalam bidang tertentu setelah dapat membuktikan pengalaman kemahiran sekurang-kurangnya 3 tahun di bidang berkaitan dalam Penilaian Amali (Peperiksaan) yang dijalankan di Pusat Penilaian Amali yang diiktiraf JPK, KSM.

Menerusi Kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), sijil diperolehi setelah peserta-peserta menjalani latihan praktikal di premis-premis GISBH yang telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah SLDN oleh JPK, KSM.

Pada 9 Ogos 2022 lepas, restoran Ikhwan Delights Sg Penchala telah ditauliahkan sebagai Pusat Penilaian Amali PPT (PPA-PPT) dalam bidang kulinari iaitu penyediaan dan pembuatan makanan, manakala Ikhwan Bakery Putrajaya pula telah mendapat pentauliahan yang sama pada 7 September 2022 dalam bidang bakeri iaitu pembuatan roti.

Kelulusan itu sah untuk tempoh 3 tahun bermula dari tarikh surat kelulusan.

SKM yang diperolehi samada melalui kaedah PPT atau SLDN adalah mengikut kurikulum Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau lebih dikenali sebagai National Occupational Skills Standard (NOSS) yang terdapat dalam Daftar Standard terkini.

Sebagai permulaan, pensijilan staf GISBH ditumpukan dalam bidang kulinari dan bakeri menerusi kaedah PPT, untuk keperluan urusan visa dan urusan persiapan tenaga-tenaga pengajar untuk pensijilan kaedah SLDN.

Semoga dapat dilahirkan tukang masak-tukang masak Islam yang mahir menyediakan makanan bersih, halal dan suci mengikut syariat Islam agar lahirlah masyarakat Islam yang sangat mengagungkan Allah dalam kehidupan mereka kerana hati dibentuk dari apa yang dimakan.

Views: 31
Scroll to top