PENGISLAMAN SAUDARA BARU DI NUR MALAYSIA PARIS

Views: 33

Paris 21.11.2022
Alhamdulillah dengan izin Allah, seorang warga Perancis beragama kristian katolik telah memeluk agama Islam di sini. Arthur yang berumur 42 tahun telah menyatakan hasratnya kepada En Idris Pascal, wakil GISB Holdings Frankfurt untuk memeluk agama Islam dan seterusnya akan berkahwin dengan orang Malaysia.

Beliau yang telah mempunyai seorang anak dengan pasangannya terdahulu, telah datang ke Restoran Nur Malaysia Paris untuk tujuan tersebut. Pada majlis ringkas itu, En Barulmuthi’ Nasiruddin sebagai wakil kepimpinan GISBH Paris, telah memberi sedikit taklimat di dalam bahasa Perancis, bagi memberi kefahaman tentang agama Islam dan tuntutan-tuntutannya. Antara isi taklimat itu ialah tiada paksaan dalam beragama dan difahamkan juga mengapa manusia hidup serta dua peranan manusia, sebagai hamba dan khalifah.

Selepas itu Arthur telah diislamkan dengan mengucap dua kalimah syahadah dan diterjemahkan juga ke dalam bahasa Perancis. Sebaik selesai, beliau dihadiahkan dua biji kopiah Ikhwan sebagai cenderahati dan diraikan juga dengan makan tengahari yang disediakan oleh Restoran Nur Malaysia. Semoga apa yang dibawa oleh para pimpinan GISBH melalui model cara hidup Islam sebenar, menjadi tarikan untuk manusia mendapat Tuhan.

Pada hari seterusnya pula, wakil Restoran Nur Malaysia telah mengatur satu pertemuan dengan Arthur yang bertempat di Masjid Besar Paris iaitu kira-kira sejauh 6KM dari Restoran Nur Malaysia untuk mendapatkan sijil akuan Islam. Beliau yang menunggu dengan memakai kopiah Ikhwan, apabila ditanya apakah perasaan setelah memeluk Islam, beliau meluahkan rasa gembira dan sangat bahagia. Setelah berbincang bersama Imam Masjid berkenaan, Arthur disarankan agar belajar solat dan mendalami Islam terlebih dahulu dengan bersungguh-sungguh. Setelah Imam berpuas hati, barulah sijil berkenaan akan dikeluarkan. Sebelum berpisah, wakil GISBH sempat memberi kata semangat kepada beliau, supaya bersungguh-sungguh belajar Islam dan terus berhubung untuk mengeratkan lagi persaudaraan sesama Islam.

Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain. Moga Islam semakin berkembang dan bertambah meriah, khususnya di bumi Eropah ini.

Views: 33

Reviews for PENGISLAMAN SAUDARA BARU DI NUR MALAYSIA PARIS

There are currently no reviews for PENGISLAMAN SAUDARA BARU DI NUR MALAYSIA PARIS
Scroll to top