Penyerahan Deposit Pembelian Bas double decker dan Dua MoU dimeterai sempena Majlis Perasmian Restoran Ikhwan Delights Pattani

Views: 54

PATTANI, 18.06.2023
Majlis Perasmian Ikhwan Delights (ID) Pattani yang penuh meriah di sini beberapa hari yang lalu bertambah bermakna dengan termeterainya 2 MoU GISBH dengan 2 buah syarikat tempatan sebagai merealisasikan matlamat penubuhan restoran tersebut untuk menjadi tempat bersilaturrahim dan menguatkan hubungan di antara umat Islam.

MoU pertama adalah di antara GISBH dengan Syarikat AlHijrah Travel pemilik Bakkah Land bagi mengguna pakai kemudahan di Bakkah Land Resort – Kampung Serambi Mekah untuk menjayakan aktiviti Pembangunan Insaniah bagi masyarakat Islam di Selatan Thailand.

Pemilik Bakkah Land yang juga Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Pattani, Tuan Hj. Wan Ismail Wan Ahmad telah menyiapkan sebuah bangunan yang serba lengkap dengan pejabat pentadbiran, ruang pameran produk muslim, kafe, dewan mesyuarat berkapasiti 100 orang dan dewan besar berkapasiti 200-400 orang. Juga dilengkapi dengan surau, tandas awam dan 16 bilik penginapan serta 7 buah chalet di tepi tali air di atas sebidang tanah seluas 50 ekar.

Untuk aktiviti luar pula terdapat kawasan yang luas untuk perkhemahan, ada kolam dan jambatan tali juga kawasan lapang berumput untuk pelbagai aktiviti.

Pihak Bakkah Land membenarkan semua kemudahan yang ada untuk dimanfaatkan bagi program pembangunan Insaniah Masyarakat Selatan Thailand dengan kadar harga yang boleh dirundingkan.

Program Pembangunan Insaniah adalah komitmen tertinggi GISBH dengan kerajaan Thailand untuk membantu berkongsi program-program berkenaan mengikut apa yang dilaksanakan dalam GISBH iaitu membina insan dalam seluruh aspek kehidupan.

Apabila insaniah seseorang itu terbina dia akan jadi peribadi yang amanah, jujur, bertanggung jawab, rajin ertinya ia menjadi seorang muslim yang sangat aktif dan memberi manfaat, sangat memberi khidmat kepada masyarakat.

Di sini juga remaja boleh dilibatkan dengan pelbagai aktiviti samada pertanian, penternakan, perikanan, perniagaan juga sukan yang sesuai seperti menunggang kuda, memanah dan berenang agar mereka tidak terlibat dengan gejala sosial.

Adapun MoU kedua adalah di bidang pelancongan yang juga menjadi target kerajaan Thailand untuk membantu menambah pendapatan penduduk tempatan, maka GISBH telah mengadakan MoU dengan MC Star Cruise Halabala bersama pemiliknya, Tuan Haji Fauzi Suttasart bagi menjayakan aktiviti pelancongan patuh syariah di Resort dan House Boat Ikhwan, Betong.

Antaranya ialah menempah sebuah houseboat eksklusif 3 tingkat dengan rekabentuknya yang sangat menarik hasil idea Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH sendiri, berukuran 9 x 24 meter dengan harga 15 juta Baht yang dilengkapi dengan 2 bilik VVIP, 2 bilik biasa, surau, bilik mesyuarat, dapur, 14 buah tandas, kabin krew, coffee corner, solar panel, dewan, ruang terbuka dan generator.

Houseboat ini boleh digunakan dengan pelbagai tujuan. Yang paling penting boleh belayar beramai-ramai di dalamnya, saling berbincang dan bertukar fikiran dengan penginapan yang selesa. Boleh makan dan beribadah bersama sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan, tenang jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.

Di Majlis Perasmian ID Pattani ini, Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah membayar deposit pembinaan houseboat yang jumlah kosnya mencapai 15 juta Baht.

Di samping itu, Tuan Pengerusi Eksekutif juga membayar deposit pembelian bas double decker yang bernilai 6 juta Baht kepada En Abdul Walee Marasa, wakil Syarikat Hatyai Mit Alaiyon.

Bas tersebut di tempah reka bentuk dalamannya juga dengan idea Tuan Pengerusi Eksekutif sendiri agar sesuai untuk perjalanan jauh dengan ruangan khas untuk pertemuan atau mesyuarat.

Hasrat Tuan Nasiruddin Mohd Ali untuk membantu kerajaan Thailand dan rakyatnya dalam bidang pembinaan Insaniah kelihatan semakin nampak jalannya dengan memanfaatkan penggunaan bas ini.

Para menteri, wakil rakyat, pemimpin masyarakat atau ketua pejabat kerajaan dan swasta boleh bertemu siapa sahaja di dalamnya untuk bermesyuarat, dialog, motivasi, kuliah, takimat dan sebagainya sambil bergerak dari satu destinasi ke lainnya.

Begitu juga beliau ingin menyahut hasrat kerajaan Thailand untuk menggalakkan pelancongan dengan menempah houseboat eksklusif di Tasik Bang Lang, Yala yang boleh menjadi daya tarikan ramai pelancong nanti.

Setelah Allah kabulkan niat awal penubuhan Restoran ID Pattani ini untuk berkasih sayang, berbincang dan bekerjasama dengan termeterai dua MoU ini juga pembayaran deposit bas double decker, moga Allah juga izinkan semua terma dalam MoU ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

Views: 54

Reviews for Penyerahan Deposit Pembelian Bas double decker dan Dua MoU dimeterai sempena Majlis Perasmian Restoran Ikhwan Delights Pattani

There are currently no reviews for Penyerahan Deposit Pembelian Bas double decker dan Dua MoU dimeterai sempena Majlis Perasmian Restoran Ikhwan Delights Pattani
Scroll to top