PATTANI, 17.06.2023
YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH telah merasmikan Restoran Ikhwan Delight (ID) Pattani yang merupakan satu-satunya Restoran Malaysia di Pattani dan restoran GISBH yang ke 124 di seluruh dunia di sini baru-baru ini.
Restoran yang berkapasiti 200 pengunjung ini diubahsuai mengikut plan Tuan Pengerusi Eksekutif sendiri dengan mengambil kira tujuan ia di tubuhkan iaitu untuk menjadi tempat pertemuan dan perbincangan pelbagai pihak sambil menikmati pelbagai makanan Tradisional Malaysia, menu Barat dan Timur Tengah juga masakan Thailand.
Terdapat 7 ruang di restoran ini, iaitu ruang lobi di mana terdapat sofa di situ, ruang utama, 3 bilik VIP yang sesuai untuk dijadikan bilik mesyuarat, di mana kesemua ruangan ini berhawa dingin juga 2 ruangan lagi di lorong sepanjang kiri dan kanan restoran yang tidak berhawa dingin. Juga tedapat Kid Zone (Zon Kanak-kanak untuk kanak-kanak bermain).
Para tetamu dan jemputan mula berdatangan pada 08:30 pagi dan pada 09:03 pagi, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali diiringi para Ahli Lembaga Penasihat dan beberapa orang tetamu kehormat telah melakukan pemotongan reben diiringi alunan selawat dan paluan kompang sebagai simbolik perasmian diikuti dengan menandatangani plak perasmian.
Program diteruskan dengan majlis rasmi di ruang utama restoran dimulakan dengan persembahan nasyid dan seterusnya ucapan pengarah GISBH Thailand YDH Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman yang antara lain menyebut tentang hasrat Tuan Pengerusi Eksekutif untuk membuka restoran ini sebagai tempat bertemu dan berbincang sesama umat Islam khususnya dan juga lain-lain pihak.
Program diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat, Gabenor Wilayah Pattani, Puan Pateemoh Sadeeyamu.
Dalam ucapannya Puan Pateemoh amat mengalu-alukan kedatangan GISBH memeriahkan bumi Pattani dengan pelbagai aktiviti perniagaan, pertanian, penternakan dan lain-lain.
Beliau mengimbas kembali pertemuan pertama dengan Tuan Pengerusi Eksekutif 4 tahun yang lalu seterusnya berlaku beberapa kali pertemuan hinggalah ke hari ini dapat melihat sendiri projek GISBH di Pattani.
Sempena perasmian ID Pattani ini telah dimeterai dua MoU di antara GISBH dengan Al-Hijrah Travel, yang dimiliki oleh Tuan Hj Wan Ismail Wan Ahmad, Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Pattani dan di antara GISBH dengan MC Star Cruise Halabala yang dimiliki oleh Tuan Haji Fauzi Suttasart.
GISBH juga membuat pembayaran deposit tempahan sebuah house boat eksklusif berharga 15 juta Baht dengan MC Star Cruise Halabala untuk tujuan pelancongan di Tasik Bang Lang, Yala.
Setelah majlis menurunkan tandatangan bagi MoU antara GISBH dengan 2 buah syarikat tersebut dengan disaksikan oleh Puan Gabenor Pattani dan Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH.
Di majlis ini juga diadakan pembayaran deposit untuk bas double decker yang bernilai 6 juta Baht kepada En Abdul Walee Marasa, wakil Syarikat Hatyai Mit Alaiyon.
Bas tersebut di tempah reka bentuk dalamannya oleh Tuan Pengerusi Eksekutif agar sesuai untuk perjalanan jauh dengan ruangan khas untuk pertemuan atau mesyuarat.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh yang di-Pertua Majlis Agama Islam 5 Wilayah Selatan, Baba Dr Hj Abdul Rahman Hj Daud.
Seterusnya tetamu menikmati hidangan makan tengah hari dengan sebahagian daripada menu Ikhwan Delight antaranya nasi putih, kari kambing, sup daging, tom yam, aglio olio di mare, carbonara, fettuccine alfredo, mi bandung, lempeng, buah-buahan, minuman sejuk dan panas.
Seramai 300 orang tetamu yang hadir di majlis yang meriah ini. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Tuan Syed Nasir Al-Jufri, Ketua Pentadbiran Wilayah Pattani, Tuan Nik Abdullah, Tuan Hj Asri Abdullah, Mantan Penasihat Duta Besar Thailand ke Saudi, pemilik Amanasak Islamic School, Habib Syed Hassan Al-Ahdal, Ulama dari Yaman, Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad, Pengerusi Uthmaniah Properties
Development Sdn Bhd Cyberjaya, Datin Dr Hajjah Hartini Osman, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Anggun (BAKA), Tuan Hj Faris Al-Nahdi seorang usahawan Pattani, Pak Do, Penjaga Makam Syeikh Abdul Samad Al-Falembani dan lain-lain.
Moga Restoran Ikhwan Delight yang dirasmikan ini benar-benar dimanfaatkan oleh masyarakat Islam Pattani untuk dijadikan tempat pertemuan, perbincangan, mesyuarat, merancang, menyelesaikan masalah yang menambah kuat kesatuan umat Islam sepertimana matlamat penubuhannya.