RAWANG, 29.09.2023
Sempena Karnival Maulidurrasul peringkat pusat GISBH, setelah perarakan beramai-ramai seawal 7 pagi, telah diadakan perasmian gerai-gerai jualan Ayam Goreng Ayyam Sihat Fateh, Jus Buah Ikhwan, Roti Canai B40, 2 buah food truck Ayyam Goreng Ikhwan, Trailer Float Kuda Ikhwan, kereta Proton X90 dan dapur bawah tanah Ikhwan oleh YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH di Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes di sini pagi ini.
Beliau diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi GISBH, Tuan Hj. Hasnan Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Penyelaras syarikat, Tuan Hj. Muhammad Adib At Tamimi, Ahli Lembaga Penasihat Muslimah, Puan Azura Mohd Yusof dan pimpinan-pimpinan yang lain disaksikan sejumlah besar staf GISBH.
Perasmian diadakan dengan simbolik pemotongan riben diiringi alunan selawat di setiap gerai dimulakan dengan gerai Ayam Goreng Ayyam Sihat Ikhwan yang diternak oleh GISBH sendiri tanpa penggunaan vaksin dan antibiotik malah rendah lemak dan disembelih di pusat penyembelihan GISBH sendiri.
Ayam goreng ini pula menggunakan tepung adunan Ikhwan tanpa MSG dan dihidang dengan sos cili premium Ikhwan yang bukan sahaja sihat tetapi menyelerakan.
Setelah itu perasmian gerai Ikhwan Beverages dengan minuman Jus Buah Ikhwan yang diimport khas dari Mekah. Terdapat 4 jus asli tanpa gula iaitu jus nanas, mangga, guava, epal dan air oren bergas. Ia dimaniskan dengan buah anggur menjadikan rasa manisnya sederhana dan sesuai untuk semua golongan walaupun penghidap diabetis.
Perasmian seterusnya ialah gerai Set Roti Canai B40 yang dicetuskan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif GISBH di mana sesiapa yang menempah set roti canai berlauk kari kambing, gulai kawah, kari kepala ikan, kari ayam dan kari ikan hanya dikenakan bayaran pada lauk kari yang ditempah juga sekeping roti canai yang pertama sahaja. Untuk roti canai seterusnya dibenarkan ambil tanpa had.
Setelah itu, Tuan Pengerusi Eksekutif merasmikan 2 food truck untuk jualan Ayam Goreng Ayyam Sihat Fatih yang
lengkap dengan singki, freezer, deep fryer dan set generator 5500W, 220V
yang lebih praktikal untuk berniaga di pelbagai tempat seperti tapak pasar malam dan karnival dan lain-lain.
Perasmian seterusnya ialah kenderaan khas untuk membawa kuda iaitu sebuah trailer Stud Farm yang diusahakan oleh Tuan Adib memandangkan Ikhwan Equestrian sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan dengan bilangan yang besar samada endurance, outride atau show jumping.
Tuan Nasiruddin dibawa melihat seluruh trailer yang unik ini dengan 3 ruang yang setiap satu boleh memuatkan 3 ekor kuda satu ruang khas yang mempunyai sofa untuk petugas yang membantu. Kepala trailer dengan kapasiti 12,000 CC ini mampu membawa beban seberat 20 tan dan telah dipasang stiker Ikhwan Equestrian yang sangat menarik.
Sebuah kereta Proton X90 untuk tujuan bersilaturahim, ziarah, dakwah dan tijarah Zon GISBH Perak 1 dengan kapasiti engin 1.5 liter TGDI tahun 2023 juga dirasmikan oleh Tuan Pengerusi Eksekutif sempena Karnival Maulidurrasul ini.
Seterusnya perasmian terakhir Tuan Nasiruddin Mohd Ali ialah sebuah dapur bawah tanah yang boleh memasak 6 ekor kambing sekaligus dengan konsep dapur Arab tradisi iaitu sebuah lubang dengan lebar 5 kaki dan kedalaman 6 kaki siap dengan rak besi dua tingkat yang diturunkan dengan rantai besi menggunakan takal. Moga ia dapat memberi khidmat kepada mana-mana pihak untuk memasak kambing cara Timur Tengah.
Moga-moga para pengunjung terhibur dan mendapat keberkatan di Karnival Maulidurrasul kali ini lebih-lebih lagi berpeluang menziarahi Khazanah Berkat Rasulullah SAW seperti janggut dan rambut baginda, replika rumah dan mangkuk baginda juga replika pembangunan masjid Nabi SAW di beberapa era Islam.