Persatuan Pembangunan Belia Thailand melawat GISBH Malaysia

Views: 22

RAWANG, 08.12.2022
Satu rombongan seramai 25 orang dari Persatuan Pembangunan Belia Thailand telah mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa pusat perniagaan GISBH dari 2 hingga 6 Desember 2022 baru-baru ini.

Para belia Muslim dari Maahad Tahfiz, Pondok Pengajian, Universiti dan lain-lain, berumur di antara 13 hingga 26 tahun ini dipimpin oleh En Suhaimi, 36 yang mengetuai Persatuan Pembangunan Belia Thailand sejak 13 tahun yang lalu, yang mempunyai keahlian dari seluruh Thailand seramai lebih 10 ribu orang dari pelbagai etnik dan agama.

En Suhaimi yang berpeluang menonton persembahan Karnival Kebudayaan Islam sempena Maulidurrasul anjuran GISBH dengan kerjasama beberapa persatuan yang lain di Pattani baru-baru ini, merancang lawatan ini bertujuan untuk melihat dari dekat aktiviti remaja GISBH di Malaysia.

Sebelum sampai di Pusat Perniagaan Ikhwan (PPI) Bandar Country Homes, Rawang, rombongan berpeluang melawat Kilang Air Ikhwan di Mergong, Alor Setar, Kedah, Kilang Pemprosesan Ayam Ikhwan di Lahar Yooi, Pulau Pinang dan Pasar Raya Ikhwan Kulim, Kedah.

Di sepanjang perjalanan program diisi dengan sesi taaruf, bacaan ayat suci Al-Quran, kuliah, soal jawab dan diselang selikan dengan nasyid dari RPU dan belia Thailand.

Di PPI Bandar Country Homes, para peserta berpeluang menonton profile GISBH dalam bahasa Thailand di Panggung Ikhwan dan melawat premis GH Corner, Galeri Ikhwan, Ikhwan Chocolate, Kompleks Perkhidmatan Perubatan Ikhwan, Pasar Raya Ikhwan dan Dapur Bandar Ikhwan.

Di Laman Ikhwan, para peserta dapat melihat sendiri cara hidup Islam yang penuh kemesraan dari semua golongan tetapi amat menjaga syariat bila terdapat berbagai golongan yang beraktiviti di sana.

Golongan kanak-kanak di tapak permainan dengan papan gelongsor, buaian, jongkang-jongkit, kereta, motosikal, arnab juga ada yang bermain panah.

Terdapat dua kumpulan remaja perempuan pula sedang bermain ‘Touch Rugby’ di kawasan yang dikhususkan.

Di stable kuda, para tetamu mendapat penerangan mengenai unit Sukan Sunnah Berkuda Ikhwan dari RPU yang bertugas di samping menunggang kuda-kuda Ikhwan secara ‘Joy Ride’ dan bergambar.

Para tetamu juga berpeluang bertemu dan bersalaman dengan Ketua Pegawai Penyelaras GISBH yang merupakan Ketua Remaja Pembela Ummah (RPU), Tuan Mohd Adib At-Tamimi di Laman Ikhwan.

Setelah itu para tetamu meneruskan perjalanan ke Pusat Latihan Cara Hidup Islam, Puchong, Selangor dan meneruskan perjalanan ke Putrajaya dan bermalam di Pusat Latihan Akhlak Mulia Ikhwan, Jelebu, Negeri Sembilan manakala esoknya pula makan tengahari di GH Corner, Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan meneruskan perjalanan ke Ipoh dan bermalam di vila GISBH Ipoh. Keesokkan harinya mereka melawat ke Pusat Perniagaan Ikhwan Ipoh, Perak.

Di celah-celah program lawatan yang padat ke GISBH, para tetamu sempat juga dibawa ke Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah, Masjid Putra, Putrajaya dan melawat Menara Kembar Petronas KLCC di Pusat Bandar Kuala Lumpur.

Antara komen peserta, Dr Fikri yang belajar di China, “Saya sangat kagum dengan sistem yang berjalan di dalam GISBH, Islam yang ditonjolkan tak banyak cakap tapi melalui contoh, sistem pendidikannya nampak kemas gerak kerjanya, bila bekerja atau beraktiviti semua bersama dan bekerjasama.” “Di Thailand, kami tak pandai lagi nak buat produk halal dan bangunkan kilang-kilang, orang Islam di Thailand kena jadikan GISBH sebagai contoh untuk bangunkan kilang dan keluarkan produk halal”.

Saudara Arafat dari Narathiwat pula tersentuh dengan akhlak Remaja Ikhwan yang katanya sentiasa tersenyum dan berakhlak baik hingga terasa indah di hatinya.

Saudara Nik Amin pula mengatakan kebersihan dan kesucian sangat dijaga di GISBH. Bukan sahaja menjaga kesucian di bilik air malah dalam bas pun sangat dijaga kebersihan dan kesucian tanpa dibenarkan memakai kasut di dalamnya.

“Kumpulan ini sangat hebat, tak pernah nampak kumpulan macam ni”, ujar beliau lagi.

Saudara Asmani Kulo pula merakamkan rasa terima kasih dari lubuk hati, bersyukur kepada Allah yang izinkan ke Malaysia untuk belajar dengan GISBH. Padanya, di sini bukan teori tetapi dapat melihat sendiri Islam dipraktik di lapangan.

Antara yang beliau belajar ialah, sepatutnya projek dimulakan dengan makanan halal dahulu sebelum buat ibadah (tumpukan soal ibadah) kerana makanan menjadi darah daging yang menentukan ibadah diterima atau ditolak.

Beliau mengakui dapat melihat sendiri samada di kilang air, kilang ayam dan pendidikan serta perguruan, staf-staf yang berkualiti untuk bangunkan masyarakat masa depan.

“Tengok anak-anak di Laman Ikhwan pula, rasa sejuk hati. Budak-budak tu mesra, berani, tak takut menyapa orang dewasa bukan malu tak bertempat.”

“Kita dah teliti semuanya memang berkualiti, kalau tak, tak boleh buat semua ini,” ujarnya lagi.

Rombongan berpisah di Penang Central kerana sebahagian daripada peserta ingin melawat Pulau Pinang manakala sebahagian lagi ingin terus kembali ke Thailand di mana terdapat beberapa orang peserta yang menangis terharu kerana terpaksa berpisah dengan wakil-wakil GISBH setelah bersama-sama selama 5 hari.

Moga lawatan Persatuan Pembangunan Belia Thailand ke GISBH Malaysia ini merapatkan hubungan antara dua negara dan memberi manfaat jangka panjang untuk kebaikan umat Islam.

Views: 22

Reviews for Persatuan Pembangunan Belia Thailand melawat GISBH Malaysia

There are currently no reviews for Persatuan Pembangunan Belia Thailand melawat GISBH Malaysia
Scroll to top