Persembahan Hadrah GH di Laman Teruntum menarik perhatian warga Kuantan

Views: 17

KUANTAN, 02.08.2022
Lebih kurang 300 orang penonton berbagai peringkat umur kebanyakkan bersama keluarga tidak berganjak menyaksikan persembahan Hadrah daripada Kumpulan Akademi Generasi Harapan di Karnival Larian MM1030 Kuantan 188 di Laman Teruntum di sini baru-baru ini.

Persembahan pentas itu diadakan sempena pelepasan Larian Pelancaran MM1030 Kuantan 188 yang disertai Mejar Dr. Suwaibah Nasir mendaki Menara Kuantan 188 oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di siang harinya.

Pentas yang terletak betul-betul bersebelahan Menara Kuantan berlatarbelakangkan Sungai Kuantan sangat menarik apabila disirami pancaran lampu dan kepulan asap ‘dry ice’.

Di awal persembahan kumpulan GH menyampaikan tiga buah nasyid diiringi dengan persembahan silat dari grup silat Akademi Generasi Harapan.

Setelah itu diikuti dengan persembahan Hadrah yang julung-julung kali diadakan di Kuantan setelah diadakan di Dubai UAE dan Dataran Putrajaya sebelum ini.

Hadrah ialah majlis mengingati Allah dan Rasul melalui alunan nasyid tertentu dengan beberapa gerakan tarian sufi diiringi permainan alat muzik yang dibenarkan yang dijadikan persembahan untuk ditonton oleh orang ramai yang menghadirinya. Dari perkataan hadir yang asalnya Bahasa Arab itulah datang kalimah ‘Hadrah’

Menurut seorang pengunjung, En. Fadzli Osman, persembahan GH malam itu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi ada membawa mesej didikan dan dakwah untuk di sampaikan kepada masyarakat.

Seorang pelancong dari Tunisia, Mohamed Bashir Gattoufi mengatakan persembahan nasyid diiringi silat sangat menarik untuk mengingatkan masyarakat agar kuat berpegang kepada didikan agama Islam juga tidak lupa sejarah bangsanya.

Pada beliau, suasana kasih sayang, tolong menolong, kerjasama di kalangan RPU di karnival itu sendiri banyak memahamkannya bagaimana Islam dilaksanakan secara praktikal dalam kehidupan yang selama ini hanya disampaikan dalam kuliah-kuliah secara teori.

Selain dari persembahan nasyid dan hadrah, pengunjung karnival juga berpeluang mencuba sukan sunnah berkuda yang dikendalikan oleh Ikhwan Equestrian dengan menunggang kuda berlatarbelakangkan Sungai Kuantan dan melihat motorsikal berkuasa besar milik RPU Bikers.

Moga GISBH berpeluang mengadakan program seumpama ini lagi di Kuantan dan lokasi yang lain untuk dijadikan medan dakwah dan perhubungan sesama umat Islam.

Views: 17
Scroll to top