YALA, 13.02.2023
Seramai 36 orang pimpinan GISBH yang diketuai oleh Excutive Chairman, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, telah mengadakan pertemuan dengan Laksamana Somkiat Polprayoon,
Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, di dewan mesyuarat Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan, hari ini di sini.
Di awal pertemuan tersebut, Laksamana Somkiat telah menceritakan baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha berkenaan hasratnya untuk meningkatkan kerjasama di negeri-negeri utara Malaysia (Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan) dan wilayah-wilayah Selatan Thai dan GISBH telah memulakannya.
“Saya sanggup bekerjasama, kalau kita hendak membangun, kita bangun sama-sama,” ujar beliau.
Menurut beliau ada tiga tempat yang hendak dibangunkan di Selatan Thai ini iaitu Daerah Nong Chik di Pattani, Daerah Betong di Yala dan Daerah Sungai Golok di Narathiwat.
Tiga tempat ini sekarang diberi insentif bantuan dan keistimewaan oleh kerajaan Thai untuk dibangunkan.
Di Nong Chik akan difokuskan untuk pertanian dan lain-lain, di Betong pula berkaitan pelancongan manakala di Sungai Golok pula untuk ekonomi khasnya import dan eksport.
Antara keistimewaannya ialah tidak dikenakan cukai perniagaan di tiga tempat ini kecuali sangat rendah selama 10 tahun samada untuk perseorangan atau syarikat.
“Saya sangat berterima kasih atas kedatangan GISBH dan mengalu-alukan pertemuan seterusnya untuk bekerjasama. Jika GISBH ingin memulakan projek ternakan ayam, kami ingin tolong bangunkan kerana ini boleh segera diusahakan,” ujarnya mengakhiri ucapan ringkas.
Seterusnya beliau memberi laluan kepada YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH, YBhg Puan Azura, Ahli Lembaga Penasihat Muslimah, memberi ucapan diikuti oleh YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ketua RPU, Tuan Mohd Adib At-Tamimi.
Menurut beliau, perlu diambil perhatian ucapan Tuan Adib kerana pemimpin muda sepertinya dan yang lain yang akan menyambung perhubungan Malaysia – Thailand akan datang kerana mereka bakal menjadi pemimpin masa depan.
Setelah itu profil GISBH dalam Bahasa Thailand ditayangkan dan Mr. Somkiat memberi perhatian penuh dan membuat catatan sama seperti ketika mendengar ucapan para pimpinan GISBH.
Antara ulasan beliau setelah melihat profil GISBH, “Saya rasa teruja, rasa kagum dengan pencapaian dan kejayaan syarikat GISBH. Dengan 18 anak syarikat yang telah berkembang ke 17 buah negara di seluruh dunia dengan merangkumi 8 sektor perniagaan telah membuktikan bahawa GISBH adalah sebuah syarikat besar yang sangat berjaya.”
“Tapi ada satu perkara yang sangat terkesan bg saya, adalah ‘vision’ Tuan Chairman, yang pertama adalah mengenai ekonomi yang bukan setakat membuat perniagaan tetapi memberi keutamaan pada pembinaan insan dalam masyarakat, ini adalah perkara yang kita tercari-cari selama ini.”
“Yang kedua, yang beliau titik beratkan ialah mengenai remaja lelaki dan remaja perempuan , yang mana pada majlis ini dihadiri bersama dari kalangan ketua-ketua dan wakil-wakil remaja, supaya remaja ada tugas, ada wawasan dan menuju ke jalan yang benar dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sihat.”
“Yang ketiga, saya juga terkesan dengan kata-kata Tuan Chairman, kita dalam masyarakat majmuk ada Muslim dan non Muslim, kita perlu mengharungi kehidupan bersama macam satu keluarga yang dapat bantu membantu antara satu sama lain.”
“Banyak perkara yang dibentangkan oleh GISBH bersesuaian dengan apa yang kami hasratkan dan kita boleh boleh bergabung dan bekerjasama.”
“Khususya tentang remaja, saya sendiri sudah banyak kali berbincang dengan Baba Suwari mengenai remaja-remaja yang belajar di pondok-pondok supaya mereka dapat pendedahan pelbagai kemahiran hidup selain dari mempelajari ilmu agama untuk mereka mampu mencari pendapatan dan menyara hidup pada masa akan datang.”
“Berkaitan dengan perancangan ternakan ayam yang dibentangkan oleh GISBH, kami telah membuat MOU dengan universiti mengenai ternakan ayam sihat untuk kita dapat makan ayam yang sihat yang baik untuk kesihatan,
dan saya mendapati bahawa apa yang diperjuangankan oleh GISBH dan apa yang kami jalankan di sini khususnya di selatan Thai ini, kita mempunyai hala tuju yang sama yang kita boleh bekerjasama, dan selepas ini kami pihak Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand sangat mengalu-alukan kedatangan GISBH ke selatan Thai ini untuk kita melangkah bersama menuju kejayaan dengan istilah yang disebut oleh PM ialah Fast-track dengan secepat mungkin,” kata Mr. Laksamana Somkiat mengakhiri pertemuan.
Para RPU juga mengambil peluang menyampaikan sebuah nasyid dalam bahasa Thailand yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘The Best Song of The Year.’
Moga pertemuan ini akan membuka jalan ke arah kerjasama di antara GISBH dengan kerajaan Thailand khususnya di wilayah Selatan Thai secara atas lapangan dengan kadar segera.