KRUNGTHEP, 27.05.2024 Rombongan GISBH dalam misi Silaturrahim, Ziarah, Dakwah, dan Tijarah telah mengadakan pertemuan dengan Syeikhul Islam Thailand, Tuan Haji Jalaluddin (Acan Arun Bunchom) di bilik VIP Pejabat Syeikhul Islam di sini hari ini.
Delegasi GISBH diketuai oleh Tn. Hj. Hasnan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi GISBH, bersama Tn. Hj. Ahmad Anuar Abdurrahman, Ahli Lembaga Penasihat GISBH, Tn. Syarif Hidayatullah, Pengarah Zon GISBH Thailand dan En. Maaruf Hj Kasem, Pegawai Tadbir Syarikat di sini hari ini.
Di pihak Majlis Syeikhul Islam, pertemuan ini dihadiri oleh Setiausaha Syeikhul Islam, Mr. Prasit Mahamad, Timbalan Setiausaha Syeikhul Islam, Mr. Manoch Somnas dan Pengarah Pejabat Syeikhul Islam, Mr. Somchai Chewangma.
Majlis dimulakan dengan pihak GISBH menyampaikan salam daripada YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH kepada Syeikhul Islam dan sesi taaruf memperkenalkan seluruh ahli rombongan GISBH.
Tn. Hj. Hasnan menjelaskan tentang GISB Holdings yang dipengerusikan oleh YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Muhammad Ali, yang telah membuka cawangan di 20 negara dalam misi Silaturrahim, Ziarah, Dakwah, dan Tijarah. Beliau juga berkongsi tentang penyertaan GISBH dalam ekspo Halal OIC di Istanbul, Kazan, dan Davao untuk mempromosikan konsep Islam sebagai cara hidup.
Di Thailand, GISBH telah menjalin hubungan dengan pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan swasta, pihak keselamatan, serta menandatangani MoA dengan Kolej Teknologi Pertanian dan Perikanan untuk ternakan ayam menggunakan enzim Fateh.
Teknologi ini menghasilkan ayam sihat tanpa vaksin dan bahan kimia, yang diakui oleh pihak kolej dan veterinar negeri.
GISBH merancang untuk mengembangkan ternakan ayam di Thailand hingga mampu dieksport ke Malaysia dan Timur Tengah, serta membangunkan kilang makanan ayam dan rumah sembelih yang mematuhi syariat Islam.
Syeikhul Islam menyambut baik perancangan ini dan bersedia bekerjasama dengan GISBH.
Selain itu, GISBH juga memperkenalkan cawangan mereka di Arab Saudi, termasuk projek Wadi Berkat Dato Ibu Hudaibiah (WBDIH) di Makkah yang bertujuan mengajak pengunjung untuk mengenali dan merasai kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat.
Video lawatan jemaah umrah dari Malaysia ke WBDIH ditayangkan, dan Syeikhul Islam menunjukkan minat mendalam untuk melawat tempat ini bersama rombongannya pada 5 Jun.
GISBH juga memaklumkan tentang ekspedisi motorhomes yang sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Melaka untuk menyertai International Islamic Trade and Tours (IITTE) pada bulan Ogos.
Syeikhul Islam bercadang untuk menyambut rombongan motorhomes di Pejabat Majlis Syeikhul Islam dengan mengadakan majlis jamuan sebelum mereka bergerak ke Malaysia.
Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati daripada YBhg Tn. PE GISBH kepada Syeikhul Islam berupa produk-produk keluaran Ikhwan Brand dan sesi bergambar beramai-ramai.
Moga pertemuan ini memulakan hubungan dan kerjasama yang bakal terjalin di masa hadapan.