Pertemuan Pengerusi Eksekutif GISBH dan para ALP dengan Datuk Seri Akhil Bulat

Views: 214

KUALA LUMPUR, 05.04.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH mendapat jemputan berbuka puasa dan makan malam daripada YBhg Datuk Seri Akhil bin Bulat, Pengarah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di WTCKL di sini, malam ini.

Turut bersama YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan para ALP yang lain; Tuan Hasnan Abdul Hamid, Tuan Mohd Fadhil Yasin, Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman dan Puan Azura Mohd Yusof.

Sebagai bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Akhil Bulat mempunyai pengalaman luas bersama para pemimpin negara termasuk pihak istana, pihak keselamatan negara jiran dan lain-lain.

Mengenai usaha pendamaian di selatan Thai, beliau berkata, “Kalau umat Islam di selatan Thai menolak pendamaian dengan kerajaan Thailand, keturunan Melayu Islam di sana akan terus merempat, mereka seramai 3 juta orang tidak akan mampu melawan 70 juta rakyat Thai yang bukan Islam.”

Pendamaian juga memerlukan kedua belah pihak melupakan sengketa lama di antara mereka umpama suami isteri yang telah berpisah tetapi demi anak-anak mereka sanggup bernikah semula maka untuk dapat diteruskan kehidupan suami isteri yang berkasih sayang, segala kesilapan silam kedua belah pihak hendaklah dilupakan dan tidak diungkit-ungkit.

Beliau dan para pimpinan GISBH juga sama-sama meluahkan kebimbangan dengan pepecahan umat Islam di Malaysia yang berpunca dari jauhnya mereka dengan agama Islam itu sendiri.

Menurut pengalaman dan pengamatan beliau ramai golongan muda bukan sahaja tidak bersembahyang malah tidak tahu bersembahyang menunjukkan kerosakan umat Islam telah bermula di peringkat individu lagi.

Begitulah seterusnya dalam pembentukan sebuah masyarakat, kerana asasnya yang utama sudah lemah, berlakulah berbagai masalah seperti rosak akhlak, rasuah, salah guna kuasa, mementingkan diri, kegagalan dalam kepimpinan, krisis dan perpecahan dan berbagai lagi gejala yang sangat merugikan masyarakat dan negara.

YBhg Tuan Pengerusi Eksekutif menegaskan,
“Perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia tidak boleh dibiarkan sebab kita telah nampak keburukannya. Memang kita berdoa agar Allah satukan, Allah mendengar doa kita tetapi kita kena berusaha, kena cari jalan.”

Puan Azura Mohd Yusof, ALP Muslimah GISBH yang juga isteri kepada Pengerusi Eksekutif berkongsi keruntuhan akhlak dan pelanggaran syariat umat Islam di serata dunia adalah kerana sudah tidak tahu mengaji, sembahyang malah ramai yang murtad akibat lemahnya perjuangan umat Islam.

“Tuan Chairman usahakan projek ayam bukan kerana nak berniaga sangat tetapi ingin memastikan makanan yang dimakan oleh umat Islam benar-benar halal. Segala keruntuhan akhlak dan kerosakan yang berlaku antaranya berpunca dari makanan yang kita makan,” ujar Puan Azura.

“Dalam berhadapan dengan masalah yang kita hadapi ini, untuk menyelesaikannya tak perlu pergi jauh-jauh, kalau sembahyang Subuh di masjid hanya ada satu saf sahaja, gambaran orang yang bersembahyang itu kecil bilangannya, bagaimana kita nak selesaikan masalah-masalah negara ini?” Datuk Seri Akhil Bulat.

Pada pendapat beliau dan itulah dia ajaran Islam, asas kepada semua ini mestilah hubungan dengan Allah, bermula dengan sembahyang.

Menilai itu semua pun sudah cukup untuk kita melihat bahawa perkara asas itulah penyebab utama samada perpecahan, pergaduhan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya bermula daripada lemah hubungan kita dengan Allah

Di akhir perbincangan, Datuk Seri Akhil Bulat dan pimpinan GISBH bersetuju seluruh pimpinan masyarakat Islam di Malaysia perlu diajak berunding untuk disatukan melalui platform NGO dan bukan politik kepartian dan ia perlu segera diusahakan.

Topik yang penting dan berat jadi lebih santai dan ringan apabila dibualkan sambil menikmati hidangan bufet Ramadhan yang lazat.

Moga Allah izinkan berlaku pertemuan antara semua pimpinan Melayu Islam demi menyelamatkan generasi ini dan seterusnya agar tetap teguh berpegang dengan agama Allah.

Views: 214

Reviews for Pertemuan Pengerusi Eksekutif GISBH dan para ALP dengan Datuk Seri Akhil Bulat

There are currently no reviews for Pertemuan Pengerusi Eksekutif GISBH dan para ALP dengan Datuk Seri Akhil Bulat
Scroll to top