MAKCHKALA, DAGESTAN, 18 Julai 2024
Satu pertemuan antara Mufti Ahmad Afandi Abdulaez, Mufti Dagestan dengan YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH telah diadakan di sini baru-baru ini.
Pertemuan itu telah berlangsung di Darul Ifta’ iaitu Pejabat Mufti di Makchkala, yang merupakan sebuah wisma, lengkap dengan masjid dan kelas-kelas pengajian.
Mufti Ahmad Afandi Abdulaez merupakan tokoh yang sangat disegani oleh rakyat Dagestan. Beliau dikenali sebagai individu yang sangat merendah diri.
Walaupun mempunyai jadual yang padat dengan tetamu dan sesi kelas pengajian, beliau tetap meluangkan masa untuk bersama rombongan GISBH yang diatur oleh Haji Abdullah.
Menurut Haji Abdullah, yang juga merupakan murid kepada mufti tersebut, kebiasaannya Mufti Ahmad Afandi hanya akan meluangkan masa selama 5 atau 10 minit sahaja dalam melayan tetamu tetapi kali ini beliau meluangkan begitu banyak masa untuk Tn. PE GISBH dan rombongan.
Di pertemuan yang turut dihadiri lebih daripada 1,000 pelajar Darul Ifta’, Mufti Ahmad Afandi mengatakan bahawa beliau sering menerima maklum balas positif tentang sikap rakyat Malaysia yang baik dan berakhlak melalui beberapa muridnya yang pernah belajar di Malaysia.
Beliau sendiri mempunyai pengalaman melihat jemaah haji atau umrah dari Malaysia di Haramain yang sangat bertertib dan bersistem.
Ketika memperkenalkan YBhg Pn. Hajjah Azura Mohd Yusof sebagai isteri ketiga dan YBhg Pn. Hajjah Mubarokah Attamimi sebagai isteri keempat Tn. PE GISBH, Mufti Ahmad Afandi sempat bergurau dengan bertanya, “Adakah di Malaysia syaitan sudah tiada? Kerana di tempat kami masih banyak syaitan.”
Tn. Mufti turut berkongsi mengenai kebebasan mengamalkan Islam di Russia berbanding negara-negara Eropah dan sebahagian negara Arab.
Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat Islam di Dagestan mengamalkan tarekat, dan beliau sendiri menerima ijazah Tarekat Qadiriyyah, Naqshabandiyyah dan Syaziliyyah.
Di pertemuan ini, ahli rombongan GISBH turut mempersembahkan nasyid kepada hadirin hingga menarik minat Mufti Ahmad agar anak-anak muridnya dapat mempelajari nasyid dan kebudayaan Islam dengan GISBH.
Beliau juga menyatakan hasratnya untuk mempelajari kaedah berkesan dalam mendidik murid-muridnya dengan GISBH.
Apabila ditanya oleh Mufti Ahmad mengenai perasaan dan pengalaman sepanjang berada di Dagestan, Tn. PE GISBH mengatakan, pada awalnya, terdapat perasaan takut untuk ke Dagestan kerana banyak maklumat negatif mengenai keselamatan yang diterima. Namun, setelah tiba dan melihat sendiri suasana yang ada, perasaan itu berubah.
Pertemuan diakhiri dengan jamuan makan di mana Tn. PE GISBH mengambil kesempatan menjemput Mufti Ahmad Afandi untuk hadir ke Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) yang bakal berlangsung pada 1-4 Ogos, di Melaka dan Tn. Mufti menyatakan kesediaannya untuk hadir.
Di akhir majlis, Tn. Hj. Nasiruddin menyerahkan sumbangan dari GISBH untuk pembangunan Masjid Besar Makachkala yang rekabentuk pembinaannya mirip Masjid Nabawi di Madinah dan cenderahati.
Mufti Ahmad Afandi menghantar rombongan hingga ke kenderaan dan sempat mengambil gambar bersama.
Semoga hubungan silaturrahim antara dua belah pihak akan membuahkan kerjasama yang bakal memberi manfaat untuk umat Islam.