YI NGO LAHAN, 2 September 2024 – Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr. Sittachai Swadsaeng atau nama muslimnya Toha, telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif GISB Holdings, YBhg Datuk Nasiruddin Mohd Ali di Muzium Manuskrip Al-Quran Melayu, Yi Ngo Lahan, di sini hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ahli Lembaga Penasihat Muslimah GISBH; Datin Azura Mohd Yusof, Ketua Muslimah GISBH; Datin Ummu Mubarokah Ashaari, Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH; Tn. Hj. Shukri Mohd Noor, serta rombongan seramai 50 orang.
Pertemuan yang diadakan di bilik mesyuarat Muzium tersebut turut dihadiri oleh pengelola asal muzium, Ustaz Muhammad Lutfi Haji Saman, Pegawai Daerah Yi Ngo, Pengarah Pertanian Narathiwat, Pengarah Perdagangan Narathiwat, Pengarah Kebudayaan Narathiwat, Mantan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat serta staf muzium.
Antara isu yang dibincangkan termasuk kerjasama dalam bidang pertanian dan perniagaan, usaha menggalakkan serta mempromosikan pelancongan di selatan Thailand untuk meningkatkan pendapatan penduduk tempatan, dan membawa pelancong Thailand ke Malaysia.
Kerjasama dalam pembangunan remaja di Wilayah Narathiwat turut dibincangkan, mengambil kira pengalaman GISBH dalam membangunkan RPU.
Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Muhammad Lutfi Haji Saman turut berkongsi sejarah pengumpulan 79 naskhah Al-Quran lama yang diperoleh dari pelbagai sumber di seluruh dunia, sebahagiannya berusia lebih 1,000 tahun, yang kini ditempatkan di muzium yang baharu dibina dengan sokongan kerajaan.
Muzium yang bernilai 220 juta Baht (kira-kira RM28.07 juta) ini hampir siap sepenuhnya dan dijangka akan dirasmikan oleh Raja Thailand pada akhir tahun ini.
Datuk Nasiruddin juga berkongsi pengalaman GISBH dalam hubungan baik dengan Dr. Abdul Aziz Ka’ki, pemilik Muzium Darul Madinah, di mana GISBH pernah menganjurkan Pameran Menghayati Kehidupan Rasulullah SAW di Malaysia dengan menggunakan replika Masjid Nabi dan replika rumah baginda dari Muzium Darul Madinah.
Cadangan Datuk Nasiruddin untuk GISBH bekerjasama dengan Muzium Manuskrip Al-Quran dalam penganjuran Pameran Menghayati Kehidupan Rasulullah di Narathiwat mendapat sambutan positif daripada Timbalan Gabenor.
Beliau juga berharap agar GISBH dapat bekerjasama dalam pembangunan sektor pertanian di wilayah ini.
Majlis diakhiri dengan penyampaian plak GISBH kepada Timbalan Gabenor dan lawatan ke Galeri Pameran Al-Quran yang menempatkan khazanah Al-Quran tulisan tangan pelbagai era dari seluruh dunia yang sangat berharga.
Hubungan baik ini diharapkan akan terus diperkukuh melalui kerjasama erat pada masa akan datang.