CANBERRA, 23.03.2023
Telah berlangsung satu pertemuan antara YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH dengan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, TYT En Abu Hirzan Mustapha, di sini baru-baru ini.
Pertemuan itu adalah program pertama siri silaturrahim, ziarah, dakwah dan tijarah Tuan Nasiruddin dan rombongan ke bumi Australia yang bermula pada 22.03.2023 lalu.
Sudah menjadi tradisi Tuan Chairman GISBH itu, apabila melakukan program ziarah ke sesebuah negara, antara tempat yang beliau akan kunjungi ialah pejabat kedutaan Malaysia, kerana baginya, seseorang duta umpama seorang bapa kepada semua rakyat Malaysia di situ. Sewajarnya ‘bapa’ itu diberitahu atau mendapat maklumat tentang aktiviti yang dilakukan anak-anaknya di sesuatu tempat itu.
Pengerusi Eksekutif bersama 12 orang ahli rombongan terdiri daripada beberapa orang Ahli Lembaga Penasihat GISBH bergerak dari Vila Kenthurst, Sydney menuju pejabat kedutaan yang terletak kira-kira tiga jam setengah perjalanan ke Perth Avenue, Yarralumla, Canberra.
Rombongan disambut mesra Pemangku Pesuruhjaya Tinggi tersebut yang telah biasa mengunjungi kafeteria Ikhwan sewaktu bertugas di Konsulat Jeddah dahulu.
Menurut TYT Pemangku Duta, pihaknya mengharapkan kerjasama GISBH untuk membuka satu cawangan kafe GISBH di Canberra di mana terdapat lebih 2000 orang Islam tinggal di sana dan beliau berjanji akan memberi kerjasama.
Semoga perhubungan mesra antara dua pihak akan berterusan dan dapat mewujudkan pelbagai kemudahan untuk umat Islam khususnya.