NARATHIWAT, 18.08.2023
Delegasi GISBH diketuai oleh Pengerusi Eksekutif, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, bersama 30 orang pimpinan lelaki dan perempuan dijemput hadir ke seminar E-Commerce anjuran Kementerian Perdagangan Thailand sempena Festival Perdagangan Sempadan Narathiwat di The Tanyong Hotel di sini hari ini.
Tuan Nasiruddin diiringi oleh En. Maaruf Kasim sebagai penterjemah manakala para peserta GISBH yang lain mengikuti terjemahan ucapan yang disampaikan menerusi aplikasi Skype memandangkan seminar diadakan sepenuhnya dalam bahasa Thailand.
Jemputan dibuat kepada GISBH memandangkan GISBH telah secara pro-aktif terlibat dengan seluruh lapisan masyarakat sejak setahun ini khususnya di selatan Thailand dengan program Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah meliputi ketua-ketua tentera, Tuan-tuan guru pondok, ahli-ahli perniagaan malah telah terlibat secara langsung dengan Ekspo World HAPEX 2023 di Hatyai.
GISBH juga telah mengadakan MoU dengan Kolej Pertanian dan Teknologi Perikanan Pattani dan Pondok Al- Hasani di Saiburi malah telah membangunkan sebuah restoran, Ikhwan Delights Pattani di Rusamilae untuk menyemarakkan ekonomi umat Islam Pattani.
Pengerusi majlis mengalu-alukan kedatangan YDH Tuan Nasiruddin dan 29 orang delegasi GISBH yang merupakan satu-satunya wakil Malaysia di seminar ini.
Mr. Tatchayapol Apimontechabutr, Timbalan Pengarah Jabatan Perdagangan Antarabangsa Thailand dalam ucapan alu-aluannya merakamkan rasa bangga dengan penglibatan GISBH ke Festival Perdagangan Sempadan Narathiwat ini khususnya kesungguhan Tuan Pengerusi Eksekutif dan rombongan GISBH menyiapkan gerai pameran aktiviti syarikat dan jualan produk-produk GISBH.
Di dalam seminar ini, para peserta didedahkan dengan peluang perniagaan yang sangat luas menerusi internet atau platform E-Commerce yang telah disediakan oleh kerajaan Thailand untuk memasarkan produk ke seluruh dunia.
Selain diisi oleh wakil Kementerian Perdagangan Thailand, para peserta juga berpeluang mendengar penerangan dan bersoal jawab dengan wakil-wakil syarikat yang berkaitan dengan E-Commerce seperti Amazon, Aramex, SME Bank dan lain-lain.
Moga penglibatan GISBH dalam program seumpama ini mendekatkan lagi hubungan antara GISBH dengan pihak berkuasa Thailand dan dapat mempamerkan Islam sebagai cara hidup kepada semua.