Proses membuat nam pla di kilang nam pla Arunee Food And Drinks, Trat, Thailand

Views: 598

TRAT, 13.02.2024
Penggunaan nam pla atau sos ikan dalam masakan dan sebagai hidangan pembuka selera dalam hidangan menu Thailand di rangkaian restoran GISBH mendorong pimpinan GISBH mengadakan lawatan ke kilang pengeluar nam pla milik pengusaha Muslim di sini hari ini.

Ia bertujuan untuk mendapatkan bekalan nam pla yang benar-benar dijamin kesuciannya bukan hanya pada label semata-mata.

Wilayah Trat yang terletak hampir dengan sempadan Kemboja sejauh 324 km dari Bangkok itu mengambil masa lebih 5 jam berkereta.

Di Trat, rombongan GISBH yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, YBhg Tn. Hj. Hasnan Abdul Hamid bertemu En. Mustafa dan isterinya Pn. Soffiah, pengusaha kilang nam pla Arunee Food and Drinks Co. Ltd.

En. Mustafa meneruskan perusahaan Almarhumah ibu mentuanya yang telah berusia lebih 30 tahun bersama isterinya dan beberapa orang pekerja yang semuanya terdiri daripada orang Islam.

Kilang ini mempunyai 32 buah kolam simen berbentuk panjang dengan disekat-sekat menjadi ruang segi empat sama dengan kedalaman lebih 3 meter.

Setiap lobang atau kolam ini akan dimasukkan ikan sebanyak 10 tan ikan bilis dan dicampurkan dengan garam, ditutup untuk diperam selama 18 bulan.

Setiap 3 bulan ikan-ikan ini akan dibalik-balikkan dan ada masanya dibuka bumbung penutup asbestosnya untuk masukkan cahaya matahari.

Air tidak boleh sedikit pun masuk ke dalamnya kerana ia akan merosakkan proses dan terpaksa dibuang semuanya.

Prosesnya yang bersih menyebabkan tiada bau busuk boleh dihidu di sekitar kilang ini. Begitu juga tiada binatang yang kelihatan berkeliaran di situ tidak seperti lumrah yang berlaku di kilang-kilang yang tidak menjaga kebersihan.

Setelah diambil air nam pla gred A untuk kali pertama di bulan ke 18, akan dimasukkan garam lagi untuk peraman selama 3 bulan lagi dan ambil hasil nam pla gred B, seterusnya melalui proses yang sama untuk gred C dan D. Hampas ikan yang telah selesai proses peraman, dijual untuk dijadikan baja.

Di kawasan Trat ini terdapat 4 buah kilang nam pla, 3 darinya dari pemilik bukan Islam yang asalnya ada sijil halal tapi telah ditarik balik kerana faktor kebersihan.

Kilang Arunee botolkan 4 gred nam pla, dua untuk masakan dan dua lagi untuk hidangan pembuka selera dengan botol plastik dan kaca.

Setakat ini, Arunee memasarkan produk mereka hanya kepada pelanggan tetap mereka dan tidak dimasukkan ke pasaraya besar kerana memerlukan kos yang tinggi. Sebahagian dari produk mereka dieksport ke Kemboja dan Malaysia.

Moga GISBH dapat memulakan segera kerjasama dengan syarikat Arunee dalam memastikan pemasaran nam pla yang halal kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia khususnya.

Views: 598

Reviews for Proses membuat nam pla di kilang nam pla Arunee Food And Drinks, Trat, Thailand

There are currently no reviews for Proses membuat nam pla di kilang nam pla Arunee Food And Drinks, Trat, Thailand
Scroll to top