Ramah mesra dan dialog santai bersama komuniti selatan Thai di Phuket

Views: 23

PHUKET, 21.02.2023
Dalam usaha melaksanakan tanggung jawab terhadap umat Islam dengan slogan silaturrahim; ziarah, dakwah dan tijarah, Executive Chairman GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah mengadakan pertemuan santai dengan kumoniti selatan Thai di sebuah restoran di sini malam ini.

Seramai 12 orang terdiri daripada para peniaga dan pekerja am dari wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat yang menetap di Phuket telah datang menjamu selera sambil berdialog dengan beliau mengenai pelbagai isu yang ada kaitan dengan kepentingan umat Islam.

Terdapat lebih 20 ribu orang-orang Melayu Islam dari wilayah selatan menetap di pulau peranginan terkenal ini untuk mencari rezeki dengan berbagai pekerjaan seperti membuka restoran, kedai gunting rambut, bekerja di lapangan terbang dan hotel atau terlibat dengan sektor pelancongan.

Setelah berkenal-kenalan dengan mereka yang hadir, program diteruskan dengan dialog santai sambil menikmati hidangan steam boat.

Di antara topik yang dibincangkan ialah, Tuan Nasiruddin mengajak para tetamu sama-sama berfikir, “Bagaimanakah Allah hendak membantu kita umat Islam sedangkan hubungan dengan Allah tidak kuat dan berkualiti?”

“Kita bersembahyang tetapi fikiran dan hati mengingati perkara yang lain seperti makan minum dan pekerjaan, bukan membesarkan Allah sedangkan sembahyang begini Allah akan balas dengan neraka wail.”

Beliau membawa perumpamaan jika seseorang baik dengan bapanya, selalu membantu bapanya walaupun tanpa diminta, sudah tentu bapanya menyayanginya dan memberinya upah yang banyak. Betapa lagi Allah Taala yang Maha Pemurah. Tetapi jika kita tunaikan sembahyang berlebih kurang, kemudian berdoa meminta bermacam-macam perkara daripada daripada Allah, sudah tentu tidak akan dapat.

“Islam dihina sekarang, Islam terhina seluruh dunia sebab umat Islam tiada kualiti. Sebab itu orang kafir boleh lenyek kita. Sebenarnya orang kafir tak kuat tetapi kita lemah. Kalau umat Islam ada contoh yang baik, insyaAllah mereka akan masuk Islam,” ujar beliau lagi.

En. Rusdi dari Narathiwat menceritakan tentang pelancongan di Phuket menyumbang sumber pendapatan yang sangat besar kepada kerajaan Thailand. Thailand dijangka menjana pendapatan melalui sektor pelancongan antarabangsa sebanyak 1.5 trilion baht tahun ini dengan kedatangan 20 juta pelancong.

Tetapi pelancong juga datang membawa pengaruh dan budaya yang menjejaskan pengamalan Islam masyarakat tempatan seperti ramai yang terlibat dengan zina, arak, meninggalkan sembahyang, tidak menutup aurat dan lain-lain.

Ust Siddiq dari Yala bertanya, “Apa perasaan yang perlu ada di hati kita ketika mengetahui ada di kalangan umat Islam melanggan pelacur di sini?”

Tuan Nasiruddin, “Kena cari jalan, bertemu, nasihatkan, paling tidak kita doakan, hati kita kena rasa bertanggung jawab pada orang itu. Jangan biarkan, kena cari jalan, bukan nak pukul, nak rentap tapi doakan dan cari jalan untuk berjumpa, ajak minum. Mungkin dia tak faham, tak tahu, jahil.”

“Bila hati lurus dengan Tuhan, Allah akan beri hati kita pandai menilai. Sebab itu kena kuat dengan Allah.”

“Seperti kami bawa motorhomes dari Turkiye masuk Greece, masuk Albania, Mecedonia, terus masuk ke Bosnia. Kami nak tengok sendiri orang-orang Islam. Pergi masjid, ada yang al-Quran pun tak pernah tengok, azan guna rakaman telefon bimbit, cerita tentang Islam tak tahu. Oleh itu kena cari jalan. Apa yang kami lakukan ialah, bila Hari Raya Korban, kami bagi lembu dan kambing kepada mereka untuk tautkan hati.”

Tuan Chairman juga berkongsi salah satu cara GISBH bergerak dengan menjalinkan silaturrahim, ziarah, dakwah dan tijarah. Di mana silaturrahim kena dibuat untuk semua, kerana umat Islam perlu ada hubungan antara satu sama lain. Dalam bersilaturrahim itu tentu ada ziarah; menziarahi jiran, menziarahi orang sakit, menziarahi keluarga dan lain-lain. Dalam berziarah pula perlu ada usaha berdakwah, sebab Rasulullah bersabda, “Sampaikan dariku walau satu ayat.” Menegur orang itu satu dakwah, mengajak berkasih sayang juga satu dakwah. Tijarah pula berniaga, bila ada peluang, GISBH akan mulakan perniagaan sebab keempat-empat perkara ini Rasulullah lakukan, ini kerja Rasulullah SAW.

Program makan malam, ramah mesra dan dialog santai di akhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebelum berpisah. Moga Allah izinkan perhubungan ini berpanjangan dalam memperkuatkan umat Islam di Phuket.

Views: 23

Reviews for Ramah mesra dan dialog santai bersama komuniti selatan Thai di Phuket

There are currently no reviews for Ramah mesra dan dialog santai bersama komuniti selatan Thai di Phuket
Scroll to top