SEPANG, 04.08.2023
Replika Rumah Rasulullah SAW yang merupakan hadiah daripada Syeikh Dr. Abdul Aziz Ka’ki, pemilik Muzium Darul Madinah kepada Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah selamat sampai ke Malaysia jam 11.50 pagi di sini hari ini.
Replika itu diterbangkan melalui penerbangan pesawat Saudi Airlines SV 830 dari Madinah Al-Munawwarah pada hari Khamis 3 Ogos 2023 M bersamaan 16 Muharram 1445 H dan sampai pada hari Jumaat 4 Ogos 2023 M bersamaan 17 Muharram 1445 H.
Proses membawa keluar replika yang sangat berkat ini dibuat oleh wakil YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali yang merupakan pegawai di Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM), En. Amran Sudin di MAB Kargo Sdn Bhd di Sepang.
Setelah itu replika Rumah Rasulullah ini dibawa dengan lori GISBH ke Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) di Rawang, Selangor untuk ditempatkan di Bilik Barang Khazanah Berkat Rasulullah SAW.
Ratusan staf GISBH menunggu sambil mengalunkan selawat penuh syahdu hinggalah Replika Rumah Rasulullah itu diturunkan, dibawa masuk ke bilik tersebut dan diletakkan di lokasi yang telah ditetapkan untuk pameran.
Replika ini mempunyai tiga buah rumah iaitu rumah Saidatina Aisyah RA, yang di tengah-tengah di mana terdapat katil di ruang tetamunya dan bilik Saidatina Aisyah di dalam. Rasulullah SAW selalu duduk di ruang depan yang terdapat katil.
Di sebelah kanan terdapat rumah Saidatina Fatimah yang mempunyai tingkap di mana setiap pagi baginda akan ke tingkap tersebut untuk membaca sepotong ayat Al Quran dengan tujuan mengejut penghuni rumah untuk bangun malam dan bersiap sembahyang Subuh.
Selepas kewafatan Rasulullah, setiap kali Saidatina Fatimah ke tingkap tersebut, beliau akan menangis mengenangkan Rasulullah SAW, yang setiap pagi mengejut mereka sekeluarga di rumah tersebut bangun sembahyang.
Di sebelah kiri rumah Rasulullah SAW pula terletak rumah Saidatina Hafsah, Ummul Mukminan RA.
Replika dengan rekabentuk yang diukur dengan skala yang tepat dengan rumah asal baginda Nabi SAW ini disiapkan 4 tahun lalu oleh pasukan Muzium Darul Madinah di bawah seliaan Syeikh Dr Abdul Aziz Kaa’ki dan mempunyai sijil yang mengesahkan ianya tepat sebagaimana yang asal dari Muzium tersebut.
Adalah menjadi hasrat Tuan Nasiruddin Mohd Ali untuk mengajak seramai mungkin umat Islam menambah cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad SAW dengan mendirikan Muzium Baginda Nabi SAW di Malaysia seperti yang terdapat di Madinah dan dimulakan dengan mengumpul barang-barang yang dikaitkan dengan Nabi SAW.
Moga dengan adanya barang-barang yang dinisbahkan kepada baginda ini, akan menambahkan ingatan semua kepada Rasulullah SAW dan memberi keberkatan dan kekuatan untuk mengamalkan dan memperjuangkan sunnah baginda di akhir zaman ini.