TASHKENT, 27.07.2023
Restoran Nur Malaysia Tashkent (RNMT) telah menaja sarapan pagi untuk rombongan Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66: London-Kuala Lumpur 2023 (EPWK66-2023) yang singgah di sini, bersama Duta Malaysia ke Tashkent, dalam ekspedisi dari London ke Malaysia baru-baru ini.
Ekspedisi anjuran Global Bike Explorer Sdn Bhd (GBESB) dan Malaysia Sports Media Assosiation (MASMA) itu dijangka mengambil masa 66 hari, merentasi 66 bandar di 18 negara dan mereka telah berpeluang singgah di Restoran Nur Malaysia Istanbul sewaktu melalui negara Turki pada bulan lepas.
EPWK66-2023 akan menempuh perjalanan hampir 22,000 kilometer, dijangka tiba di ibu negara pada 31 Ogos depan dan seterusnya menyertai perarakan Hari Kemerdekaan ke-66, tahun ini.
Kesemua ahli rombongan ekspedisi bersama Tuan Yang Terutama Duta Malaysia ke Tashkent, En Tuah Ilyas bin Ilham, telah dihidangkan dengan sarapan teh tarik, karipap ayam dan kuih ketayap.
Salah seorang dari peserta EPWK66-2023, dari Media Prima menyebut RNMT bakal dicatatkan sebagai salah satu penaja sarapan bagi program ekspedisi ini.
Sewaktu bersarapan, wakil RNMT, En Anuar Sani menerangkan tentang aktiviti RPU Bikers GISBH, yang diketuai YDH Tuan Muhammad Adib At-Tamimi selaku Ketua Pegawai Penyelaras GISBH dan Presiden RPU kepada para tetamu.
Pihak kedutaan juga mngucapkan terima kasih atas kedatangan wakil RNMT semasa sesi ‘flag off’ rombongan ekspedisi itu dari pejabat Kedutaan Tashkent sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Malaysia melalui sempadan Kazakhstan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta EPWK66-2023, TYT Duta dan staf RNMT.
Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara pihak kedutaan, RNMT dan umumnya rakyat Malaysia yang membolehkan berbagai program kerjasama dapat dijalankan untuk manfaat semua manusia.