KUALA LINGGI, 19.01.2024
Satu rombongan jemaah sufi dari Tarekat Jahriah berasal dari negara China telah datang menziarahi YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH di SAZA Beach Villa & Chalets, di sini hari ini.
Rombongan seramai 7 lelaki dan seorang perempuan mewakili Syeikh Tarekat Jahriah, Syeikh Abdul Rauf, diketuai oleh Maulana Ali Ma yang merupakan anak Syeikh Abdul Rauf sendiri.
Ziarah ini merupakan kunjungan balas pihak Tarikat Jahriyah ke atas GISBH dan Tn. Pengerusi Eksekutif yang telah mengunjungi mereka pada tahun 2017, di Kunming, China.
Terdahulu, hubungan dengan jemaah Tarekat Jahriah telah terjalin sejak 1992 ketika pengasas GISBH, Almarhum Ustaz Haji Ashaari Muhammad, bersama rombongan berkunjung ke Kunming.
Dalam pertemuan kali ini, berlangsung beberapa perbincangan antaranya mengenai perniagaan dengan dibantu penterjemah-penterjemah dari GISBH yang fasih berbahasa Mandarin dan juga bahasa Arab.
Tn. Pengerusi Eksekutif seperti biasa mengingatkan di dalam apa jua aktiviti yang dijalankan, modal insanlah yang perlu diutamakan iaitu Habluminallah dan Habluminannas.
Para tetamu dijamu dengan menu masakan Cina yang disediakan oleh chef GISBH dan pertemuan diakhiri dengan pemberian cenderahati berupa produk-produk Ikhwan daripada Tn. Pengerusi Eksekutif kepada para tetamu.
Moga-moga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim juga hubungan perniagaan antara dua negara; Malaysia dan China di sudut jihad ekonomi makanan yang halalan toyyiban.