Roti Canai Nur Malaysia laris di Malaysian Carnival 2022 di United Kingdom

Views: 6

HERTFORD, UK 04.07.2022
Roti canai Restoran Nur Malaysia London mendapat sambutan hangat dari para pelanggan di Malaysian Carnival 2022, bertempat di Tun Abdul Razak Research Centre, di sini kelmarin.

Karnival tahunan ini telah bermula hampir 20 tahun yang lalu tetapi tidak dapat dilaksanakan selama wabak Covid-19 dua tahun yang lalu.

Di karnival ini, rakyat Malaysia berkongsi budaya, makanan, kemesraan dan layanan kepada orang ramai di UK, rakan-rakan diplomatik dan masyarakat antarabangsa.

Karnival yang biasanya diadakan pada bulan Ogos dan September ini digelar Karnival ‘Merdeka’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September tetapi diawalkan tahun ini untuk memanfaatkan cuaca musim panas.

Acaranya diadakan sepanjang hari dari 10 pagi hingga 5 petang di mana terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai masakan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, laksa, sate dan banyak lagi juga minuman kegemaran Malaysia, teh tarik.

Terdapat juga gerai yang menjual pelbagai produk Malaysia seperti makanan, pakaian tradisional, kraftangan dan banyak lagi.

Selain itu, persembahan kebudayaan dan seni mempertahankan diri ‘Silat’ Malaysia juga dipersembahkan.

Tujuan utama Karnival Malaysia 2022 ini ialah untuk memperkenalkan makanan dan kebudayaan Malaysia, membina hubungan dengan masyarakat antarabangsa dan menambah kenalan.

Ia juga menyediakan peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang perniagaan di Malaysia dan mempromosikan sektor pelancongan Malaysia kepada orang awam di UK secara amnya.

Restoran Nur Malaysia, di bawah rangkaian restoran GISBH berpeluang memperkenalkan makanan Malaysia seperti roti canai, murtabak ayam dan daging, popia sayur ayam, karipap inti daging, kentang dan ayam, samosa, nasi lemak telur mata dan telur rebus dan nasi lemak ayam goreng Ikhwan.

Sejak mula berniaga pada jam 9.45 pagi, pelanggan tidak putus datang dan beratur panjang terutama untuk membeli roti canai yang nampak menarik ditebar secara ‘live’.

Melihatkan pelanggan yang ramai sedangkan tukang tebar roti canai Ikhwan hanya seorang, tiba-tiba seorang warga Malaysia meminta izin dan terus memberi bantuan menebar roti canai bersama.

Ia membantu mempercepatkan para pelanggan mendapatkan tempahan makanan mereka sedangkan di gerai-gerai lain pun pelanggan terpaksa beratur dan menunggu kadang-kadang hingga lebih sejam untuk mendapat makanan.

Di karnival Malaysia kali ini, roti canai Ikhwan mendapat sambutan hangat dan habis awal iaitu jam 3.30 petang.

Moga Restoran Nur Malaysia London benar-benar dapat melaksanakan tanggung jawab mempromosi Malaysia melalui makanan yang menambat hati warga UK dari pelbagai bangsa untuk lebih mengenali dan mencintai Malaysia.

Views: 6

Reviews for Roti Canai Nur Malaysia laris di Malaysian Carnival 2022 di United Kingdom

There are currently no reviews for Roti Canai Nur Malaysia laris di Malaysian Carnival 2022 di United Kingdom
Scroll to top