PUTRAJAYA, 10.09.2023
Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH lelaki dan muslimah telah dijemput untuk kedua kalinya menghadiri majlis bersama i-LEAD di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam program Pesta Rakan Muda Mudi di sini semalam.
Seramai 21 orang wakil GISBH terdiri daripada 11 orang RPUL dan 10 orang RPUM diketuai oleh Ybhg Tuan Syahid Che Khairil Anuar menyertai program kali ini.
Program yang bertemakan ‘Demokrasi Beraksi’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 16 September ini bertujuan memperluaskan pengetahuan anak muda mengenai kepelbagaian isu Malaysia.
Pesta Rakan Muda Mudi ini menerapkan empat elemen iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik dan Rakan Niaga dengan objektif menyediakan platform kepada generasi muda menyerlahkan bakat dan potensi diri.
RPU GISBH menyertai program i-LEAD yang mengelolakan Rakan Demokrasi di mana telah dijalankan aktiviti-aktiviti seperti Borak Demokrasi, Kelas Demokrasi, Kuiz Rukun Negara, Simulasi Pilihanraya dan Pameran Sekolah Rukun Negara yang memberi pendedahan dan pemahaman kepada generasi belia mengenai prinsip-prinsip demokrasi, kepentingan sosialisasi politik dan nilai-nilai kenegaraan.
RPU berpeluang bergaul dengan wakil-wakil dari sekolah-sekolah dan universiti yang turut menyertai program ini.
Slot Borak Demokrasi diisi dengan forum yang dikendalikan oleh En Idzuafi Hadi Kamilan dengan dua orang ahli panel, Dr. Sharifah Syahira Sy. Shikh dari Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Pn. Qira Yusri dengan tajuk ‘Perempuan Merdeka’.
Antara yang diketengahkan oleh Dr. Syahira erti merdeka bagi seorang perempuan ialah bebas dari dikuasai perasaan rendah diri, lemah sebab itu boleh sama ‘level’ dengan lelaki malah boleh sampai menjadi perdana menteri.
Menurut beliau wanita sepatutnya dikedepankan dalam politik, kerajaan, negara dan kepimpinan dan suara wanita didengari oleh pemerintah.
Di dalam Islam, perempuan memang sepatutnya berperanan khususnya di kalangan mereka kerana banyak hal ehwal perempuan hanya mereka yang lebih memahaminya tetapi untuk pimpinan umum, Allah jelaskan dalam Al-Quran surah An Nisaa’, ayat 34:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.
Setelah itu program diteruskan dengan
kelas Rukun Negara dan Slot Kuiz Rukun Negara yang memberi lebih peluang kepada RPU untuk beramah mesra dengan masyarakat umum.
Turut hadir ialah YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS serta YBrs. Tuan Haji Mohd Haswandi bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah i-LEAD.
Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah pada pemenang-pemenang kuiz
dan sebelum bersurai, YBhg Tuan Syahid berpeluang menyampaikan cenderahati daripada YBhg Tuan Pengerusi Eksekutif kepada Ketua Pengarah i-LEAD dan jurulatih-jurulatih yang mengendalikan program kali ini.
Program seperti ini sangat baik untuk semua belia kerana boleh membuka minda dan saling memahami di antara satu sama lain di samping menanamkan rasa bertanggung jawab kepada negara yang tercinta.