SHAH ALAM, 11.10.2023
Seramai 36 orang Remaja Pembela Ummah (RPU) dari syarikat GISB Holdings Sdn Bhd telah dijemput menghadiri Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini semalam.
Rombongan diketuai Tuan Nik Fateh Nik Abdul Kadir mewakili Ybhg Tuan Muhammad Adib At Tamimi, Presiden RPU bersama barisan kepimpinan RPU dan 15 orang Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM).
Konvensyen itu turut disertai pelajar-pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan dan wakil NGO yang dianggarkan berjumlah 2000 org.
Di antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Pertama, YB Hannah Yeoh Menteri Belia dan Sukan (KBS), YBrs. Dr. Nagulendran, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Tuan Haji Haswandi, Pengarah i-Lead.
Program ini dianjurkan oleh i-Lead dengan kerjasama UiTM bertujuan mengaplikasi pengetahuan pengurusan kewangan bagi melahirkan belia yang ‘celik kewangan’.
Menerusi konvensyen ini, golongan belia diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai tatacara pengurusan kewangan yang baik serta diberi pendedahan terhadap sindiket penipuan wang (scammer).
Dianggarkan sebanyak 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) sejak 2014 hingga Mei 2023.
Menyedari hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu modul khas literasi kewangan dimasukkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal diperkenalkan semula tidak lama lagi.
Tambah Ahmad Zahid, jika tiada usaha dibuat lebih awal, dikhuatiri golongan muda akan berdepan dengan masalah kebankrapan sebelum menjadi sebahagian daripada guna tenaga di negara ini.
Walaupun jemputan menghadiri program ini diterima agak lewat dari pihak i-Lead, namun RPU atas saranan yang bersungguh-sungguh dari Ybhg Tuan Muhammad Adib, telah dapat menghadirkan diri jam 8.00 pagi di dewan itu.
Keberadaan RPU disambut mesra oleh Dr Muhamad Saifulbakri Yusoof, Penolong Pengarah, Kluster Kenegaraan i-LEAD, yang mesra dipanggil Cikgu Ayie oleh RPU dengan memperkenalkan pasukan RPU sebagai ‘Brotherhood i-Lead’ pada rakan-rakannya dalam i-Lead.
Tuan Nik Fateh dan Tuan Syarif berpeluang bersalaman dengan YAB DS Dr Zahid Hamidi sewaktu beliau melangkah ke pentas utama bersama YB Hannah Yeoh bagi menyampaikan ucapan penutup program.
Pada masa yang sama, TPM mengirimkan ucapan salam kepada Ybhg Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH.
DS Zahid Hamidi dan YB Hannah Yeoh bergambar bersama para peserta sebelum pulang menaiki kenderaan. Beliau dan Pengarah i-Lead Tn Haji Haswandi juga berulang kali mengucapkan terima kasih atas kehadiran Global Ikhwan.
Semoga segala ilmu yang diperolehi dari konvensyen ini dapat digunakan untuk membentuk diri menjadi remaja yang amanah, bertanggungjawab dan berhemah dalam menguruskan hal-hal kewangan demi agama, bangsa dan negara.