SELAYANG, 14.04.2022
GISBH cawangan Selayang hari ini mengadakan rumah terbuka sempena Aidil Fitri bermula jam 11 pagi hingga jam 4 petang.
Rumah terbuka yang di adakan di dalam dan perkarangan Ikhwan Cafe Selayang dengan tambahan dua buah kanopi ini menyediakan pelbagai hidangan seperti nasi minyak, lauk ayam masak merah dan acar, ketupat pulut, lemang, nasi himpit dan rendang ayam, set sate nasi himpit dan kuah kacang, pisang dan keledek goreng, keropok lekor, mi hun sup, kuetiaw sup dengan sup daging, pelbagai kuih pencuci mulut dan buah-buahan, biskut raya, coklat dan gula-gula, cendol, minuman sejuk dan teh tarik.
Tetamu bersama keluarga dan rakan-rakan tidak putus-putus datang ke rumah terbuka ini khususnya di kalangan pelanggan-pelanggan premis GISBH di sini dan penduduk setempat.
Mereka dihiburkan dengan alunan nasyid dan ucapan alu-aluan pengacara majlis serta layanan penyambut tetamu di kalangan pimpinan GISBH sendiri.
Antara tetamu yang hadir ialah Naib Presiden PKR, YB Tian Chua, ADUN Taman Templer, YB Tuan Mohd Sany bin Hamzan, mantan ADUN Taman Templer juga veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman, Setiausaha Kerja Persatuan Pengasih Malaysia, En Abdullah Abdul Ghani, pegawai-pegawai PDRM Bukit Aman dan lain-lain.
YB Mohd Sany Hamzan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Ikhwan yang menjemputnya ke majlis sambutan Aidil Fitri dan mengajak semua agar menjaga kesihatan untuk mengelakkan jangkitan covid-19 dan mengatakan pasti dengan sambutan Aidil Fitri seperti ini Allah berikan keberkatan dan kesejahteraan kepada semua.
Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman pula mengucapkan terima kasih kepada GISBH atas jemputan ini dan menyifatkan GISBH adalah sebuah organisasi yang tersusun hebat, mempunyai rangkaian seluruh dunia dan boleh menjadi contoh kepada masyarakat Islam di Malaysia dan mendoakan GISBH agar terus maju jaya dan menjadi tunggak kepada masyarakat Islam Melayu Bumiputra di negara ini.
Selain mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota dan pengurusan GISBH atas jemputan ke majlis ini, YB Tian Chua pula mengharapkan GISBH maju jaya dalam ‘bisnes’ juga dapat mengeratkan lagi saf yang ada, dapat kekalkan silaturrahim beliau dengan GISBH.
En Abdullah Abdul Ghani dari PENGASIH pula mengajak wakil GISBH bersama-sama mengisi program kerohanian di Persatuan Pengasih Malaysia untuk membantu menguatkan roh Islam penghuninya yang terdiri daripada mereka yang ingin kembali ke pangkuan masyarakat setelah terlibat dengan dadah.
Ahli Majlis Perbandaran Selayang
Tuan U Chin Ong, mengucapkan ribuan terima kasih dan minta maaf kerana lewat hadir memandangkan beliau agak ‘rushing’ dari Seremban demi memenuhi jemputan GISBH sedangkan jalan sesak. Ketika dimaklumkan nasyid ‘Ahlan wa Sahlan’ ditujukan kepadanya, kelihatan beliau memberi fokus kepada alunan nasyid. Sebelum pulang beliau memberitahu akan membuat program untuk staf syarikatnya di Ikhwan Cafe Selayang.
Moga dengan program rumah terbuka Aidil Fitri seperti ini akan menambah eratkan hubungan GISBH dengan seluruh lapisan masyarakat khasnya dengan pelanggan perniagaan Ikhwan sendiri di mana pelbagai kerjasama akan dapat dilakukan untuk kebaikan umat Islam.