Rumah Terbuka GISBH Utara meriah

Views: 43

TASEK GELUGOR, 29.04.2023
Rumah Terbuka Aidil Fitri GISBH utara mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat dan tetamu kehormat dengan kehadiran lebih 2000 orang tetamu sepanjang hari di sini hari ini.

Program yang bertempat di Pusat Perniagaan Ikhwan Lahar Yooi dipersiapkan dengan 4 buah khemah utama VIP half moon, 4 buah khemah makan tetamu lelaki dan 4 buah khemah tetamu perempuan.

Antara juadah utama ialah kambing bakar, nasi Palov ayam, nasi putih, keli salai masak lemak, siput sedut masak lemak, telur itik masak lemak, ikan masin, kerabu taugeh, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Terdapat juga juadah yang dihidangkan di lapan buah gerai seperti rendang daging dan ayam, ketupat nasi dan ketupat palas, sate ayam, daging, nasi himpit dan kuah kacang, ayam goreng ikhwan, pelbagai jenis mi, kuih muih pencuci mulut dengan jumlah semua hidangan sebanyak 26 jenis dan 6 jenis air minuman.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat terkini GISBH melalui pameran yang dipaparkan di tiga buah gerai iaitu booth pameran GISBH, booth produk Fateh dan booth Ayam Sihat Ikhwan.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YB Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, Ahli Parlimen Pematang Pauh, YB Dato’ Mustafa Kamal Ahmad, ADUN Teluk Air Tawar, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, YB Nor Hafizah Othman, ADUN Permatang Berangan.

Antara ulasan YB Datuk Wan Saiful Wan Jan,
“Saya berbesar hati kerana GISBH memilih Parlimen Tasek Gelugor untuk dibuat Majlis Rumah Terbuka Wilayah Utara ini.”

Antaranya yang menarik perhatian beliau ialah ternakan Ayam Sihat Ikhwan memandangkan selama ini ternakan ayam dimonopoli orang bukan Islam.

“Kami orang politik ini boleh mencontohi sistem GISBH ini. Saya harap apa yang GISBH buat dapat dibawa semangatnya kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.

Antara tetamu yang hadir ialah En Suhaimi dan isteri yang merupakan pelanggan Ikhwan Mart. Beliau menyatakan rasa teruja apabila mengetahui GISBH mempunyai projek di Haramain seperti restoran, Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah (WBDIH) dan ada menawarkan pakej Umrah melalui Global Ikhwan Travel & Tours (GITT).

Beliau juga menyatakan rasa bangganya kerana GISBH bukan sekadar berniaga malah menaungi peniaga dan pengusaha-pengusaha di kalangan orang muda.

Moga dengan majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara GISBH dengan para pelanggan, rakan niaga dan seluruh umat Islam dan bukan Islam di semua lapisan masyarakat.

Majlis rumah terbuka GISBH yang seterusnya ialah di GISBH Zon Pantai Timur pada 6 Mei bertempat di Dewan Atabara Indera Mahkota Kuantan, GISBH Zon Borneo (Sabah) 7 Mei di Restoran Ikhwan Sembulan, Kota Kinabalu, GISBH Zon Wilayah Selatan pada 14 Mei di GH Corner, Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan, GISBH Lembah Kelang pada 20 Mei di Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes, Rawang dan GISBH Zon Borneo (Sarawak) pada 20 Mei, Pusat Perniagaan Ikhwan Kuching, Taman Bunga Raya, Kuching.

Seluruh muslimin muslimat dan umum rakyat Malaysia dijemput hadir ke majlis rumah terbuka GISBH di mana sahaja anda berada.

Views: 43

Reviews for Rumah Terbuka GISBH Utara meriah

There are currently no reviews for Rumah Terbuka GISBH Utara meriah
Scroll to top