Derbent, Dagestan, 6 Julai 2024
Sambutan 1 Muharram menjadi pengalaman paling bermakna bagi rombongan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dalam misi mereka ke Derbent, wilayah paling selatan di Rusia, apabila mereka berkesempatan menziarahi maqam 40 Sahabat Rasulullah SAW yang dimakamkan di kawasan pemakaman Kryklar di sini hari ini.
Ybhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH yang mengetuai rombongan tersebut telah merancang agar sambutan 1 Muharram yang jatuh pada hari keberangkatan mereka ke Derbent diadakan di sana.
Sambutan yang diadakan meskipun sederhana, memberikan kesan yang besar dalam diri peserta rombongan dan masyarakat tempatan.
Dalam perjalanan ekspedisi untuk mencari lokasi pakir motorhome, mereka tiba di Masjid Joma Shekh Muhammad Yaragsky yang dikelola oleh komuniti Sunni di sini.
Tn. PE GISBH bersetuju untuk mengadakan jamuan makan tengah hari di perkarangan masjid yang disediakan oleh ibu-ibu dengan bantuan para Rangkaian Pembina Ukhwah Lelaki (RPUL), cabang remaja di dalam GISBH.
Ketika menjamu selera, Hj Abdullah dan Mr. Shamil mengambil kesempatan berbincang berbagai topik dengan Tn. PE GISBH dan rombongan.
Apabila masuk waktu Asar, Bilal masjid, saudara Hamid, meminta salah seorang wakil rombongan untuk mengumandangkan azan.
Ammu Rizal diberi penghormatan untuk mengumandangkan azan Asar dan Hj Abdullah kelihatan sebak mendengarnya.
Di malam harinya pula, Tn. Hj. Nasiruddin menjamu semua peserta makan malam di Restoran Kunak (Kyhak) di Kapiysk untuk merayakan awal Muharram.
Di kesempatan yang sama, atas panduan Tn. PE GISBH, rombongan meraikan ulang tahun kelahiran Mr. Shamil yang ke-42 dengan memotong kek manakala RPUL pula menghadiahkan alunan beberapa buah nasyid.
Haji Abdullah pula membuat panggilan video kepada Mr. Marat Kabaev, Presiden International Assembly of Islamic Business (IAIB) di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada Tn. Hj. Nasiruddin dan rombongan atas kunjungan mereka ke Dagestan.
Sambutan Awal Muharram kali ini bukan hanya mengeratkan hubungan sesama ahli rombongan, tetapi juga memperkuat ikatan keagamaan dan persaudaraan dengan komuniti Muslim di Dagestan.