Sambutan Aidil Fitri GISBH Haramain dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan

Views: 21

HUDAIBIYAH, 21.04.2023
Aidil Fitri disambut meriah oleh warga GISBH Haramain dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan para pimpinan syarikat untuk sama-sama mendirikan solat sunat Aidil Fitri dan mendengar khutbah di Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah di sini hari ini.

Kira-kira 120 orang staf GISBH lelaki dan perempuan menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri di surau lapangan (WBDIH) diimamkan oleh YBhg Tuan Muhammad Syurahbil Amran, Setiausaha Peribadi Pengerusi Eksekutif GISBH.

Khutbah disampaikan oleh Pengarah Zon Haramain YBhg Tuan Muhammad Abbad At-Tamimi dengan tajuk, Muhasabah Dalam Kesyukuran, Membina Diri Menjadi Sebaik Manusia yang antara lain mengajak hadirin merenung didikan Ramadhan yang sepatutnya menjadikan seseorang kembali kepada fitrahnya yang suci.

“Kita mahu menjadi orang baru yang akan sentiasa bertaubat dan akan bersungguh-sungguh menghindari dosa. Kita sudah tidak mahu lagi jadi orang yang degil, malas, tidak menghayati minda dan tidak menghayati serta tidak menjiwai perjuangan.”

“Ubat bagi keempat-empat penyakit ini tentulah dengan mensucikan fitrah kita. Orang yang fitrahnya berjaya disucikan ialah orang yang bila dipuji atau dikeji orang, rasanya sama sahaja, tiada beza. Sebab mereka sudah jadi orang Tuhan yang apabila dipuji dia merasa Allah-lah yang memuji zatNya. Jadi layaklah pujian itu untuk Allah. Sebab Allah-lah Tuan punya kehebatan yang dipakaikan kepada diriNya. Pujian itu bukan untuknya tapi untuk Allah.”

“Manakala bila dikeji orang, maka orang-orang Allah menerimanya dengan merasa Allah yang mentakdirkan dirinya sebagai hamba yang berdosa yang memang layak dikeji,” antara yang disampaikan khatib di dalam khutbahnya.

Setelah mendengar khutbah seluruh jemaah bersalam-salaman sambil memohon maaf beramai-ramai.

Majlis diteruskan dengan penyampaian duit raya dan minyak wangi oleh YDH Tuan Pengerusi Eksekutif kepada seluruh hadirin sebagai tanda bersyukur direzekikan melalui bulan Ramadhan yang penuh berkat dan memasuki bulan Syawal yang mulia.

Majlis ibadah ditutup dengan sesi bergambar beramai-ramai seluruh staf GISBH dengan YDH Tuan Pengerusi Eksekutif dan para Ahli Lembaga Penasihat GISBH.

Seterusnya seluruh yang hadir menikmati jamuan Aidil Fitri dengan juadah raya citarasa Malaysia seperti nasi himpit, kuah kacang, ketupat pulut, lemang, rendang itik dan organ dalaman unta, sate ayam dan daging, nasi tomato, ayam masak merah, sup daging unta, air kopi O dan jus tembikai sambil menikmati persembahan nasyid.

Moga Allah mengembalikan fitrah seluruh umat Islam kepada asal kejadiannya yang suci buat bekalan mengharungi 11 bulan yang mendatang sebelum menemui bulan Ranadhan di tahun hadapan jika dipanjangkan usia. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar permintaan hamba-hamba-Nya.

Views: 21

Reviews for Sambutan Aidil Fitri GISBH Haramain dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan

There are currently no reviews for Sambutan Aidil Fitri GISBH Haramain dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan
Scroll to top